MiDAS KOMITED BANGUNKAN PROJEK KERUSI RODA
PULAU PINANG, 24 Julai 2015 – Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) menzahirkan hasrat untuk berkolaborasi dengan Universiti Sains Malaysia (USM) khususnya dalam membangunkan projek kerusi roda bagi kegunaan golongan kelainan upaya (OKU).
Ketua Eksekutif MiDAS, Leftenan Jeneral Datuk Dr. William Stevenson berkata, pihaknya tertarik dengan inisiatif USM bersama-sama Rajanagarindra Institute Child Development (RICD), Thailand dalam menjayakan projek pengagihan kira-kira 100 kerusi roda kepada komuniti memerlukan di negara ini.
Katanya, inisiatif itu selaras dengan strategi lautan biru negara (NBOS) dan MiDAS yang berperanan dalam menyelaras inisiatif NBOS melihat kerjasama itu bakal memberi manfaat besar khususnya kepada komuniti kurang bernasib baik di negara ini.
"Projek kerusi roda USM-RICD sangat unik dan MiDAS melihat ada potensi untuk turut serta dalam kerjasama seumpama ini yang dapat menyumbang kehidupan lebih baik kepada OKU dan golongan yang memerlukan.
"MiDAS turut mempunyai kemudahan makmal kejuruteraan elektrik dan elektronik yang dilihat dapat memberi nilai tambah untuk menambah baik projek yang telah dijalankan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke mesyuarat bagi membincangkan potensi membangunkan kolaborasi bersama-sama USM di sini hari ini. Kunjungan beliau dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri & Masyarakat, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey.
Tambah beliau, projek kerusi roda yang bakal direalisasikan itu bukan sekadar memberi kemudahan kepada komuniti awam, malah turut boleh diagihkan kepada golongan anggota tentera yang memerlukan termasuk pesara (veteran).
Tambahnya lagi, perbincangan tersebut bukan sekadar menjurus kepada projek kerusi roda semata-mata, sebaliknya turut meninjau potensi dan peluang kerjasama dalam skop yang lebih luas bersama-sama USM.
Dalam pada itu, Ching Mey pula berkata, projek USM-RICD yang dimulakan sejak Mei 2012 melalui BJIM telah memberi sinar kepada golongan OKU yang mempunyai masalah dari aspek pergerakan dan akses mengikut kesesuaian penyakit.
Katanya, misi projek berkenaan adalah untuk membantu menyelesaikan masalah mobiliti pesakit dan membuka peluang kepada pesakit untuk lebih aktif dan berdikari.
"Ramai yang beranggapan kerusi roda sesuai untuk semua OKU namun ia adalah sebaliknya. Setiap OKU mempunyai kesukaran tersendiri dan melalui projek ini kita akan berusaha memberikan yang terbaik untuk keselesaan dan kesesuaian fizikal mereka,’’ katanya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa
- Created on .
- Hits: 1446