NAIB CANSELOR USM TERIMA KUNJUNGAN IMAM MADINAH
PULAU PINANG, 23 Julai 2015 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini menerima kunjungan daripada imam dari sebuah masjid dari Madinah Arab Saudi Syaikh Jam'an Al-‘Asiri yang dijemput khas sebagai imam solat sunat tarawih di Masjid Al-Malik Khalid USM sepanjang Ramadhan lalu.
Omar berkata, beliau amat berbesar hati menerima kehadiran imam tersebut ke USM dan berharap kerjasama ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan.
Naib Canselor memaklumkan rancangannya untuk ke Madinah atas urusan kerja pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.
Dalam perjumpaan singkat selama 15 minit itu, Syaikh Jam'an Al-‘Asiri menzahirkan ucapan terima kasih kepada USM yang menjemputnya ke Malaysia dan menyifatkan kehadiran ke USM selama sebulan merupakan pengalaman manis sepanjang hidupnya.
“Saya kagum dengan USM serta gembira berada di Malaysia walaupun cuma seketika dan berharap untuk datang semula sekiranya diberi peluang kerana masyarakat di sini amat baik dan peramah,” ujarnya yang juga bertugas sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam di Madinah.
Syaikh Jam'an Al-'Asiri yang tiba sehari sebelum Ramadhan lalu akan berangkat pulang ke negaranya pada hari Sabtu, 25 Julai turut bersyukur kerana dapat menyesuaikan diri di Malaysia dengan layanan baik yang diterima dan masyarakat yang harmoni di sini.
Yang hadir sama ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari. - Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah
- Created on .
- Hits: 1279