USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CALON DOKTOR FALSAFAH USM MENANG ANUGERAH POSTER TERBAIK DI JEPUN

Sake group photo

PULAU PINANG, 21 Julai 2015 - Calon Doktor Falsafah (Ph.D) Universiti Sains Malaysia (USM), Ong Su Yean mengharumkan nama negara dan USM apabila dipilih sebagai salah seorang pemenang Anugerah Poster Terbaik di The 7th International Conference on Green and Sustainable Chemistry (GSC-7) dan The 4th JACI/GSC Symposium di Tokyo, Jepun, baru-baru ini. 

Su Yean, 30, yang sedang mengikuti pengajian tahun kedua berpengkhususan biokteknologi di bawah penyeliaan Profesor Dr. K. Sudesh Kumar dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM menerima anugerah tersebut bagi poster penyelidikannya bertajuk “Effect of Polyhydroxyalkanoates (PHAs) Degradation on Soil Microbial Diversity”.  

Ketika dihubungi, Su Yean berkata dia agak terkejut apabila mendengar namanya diumumkan oleh pihak penganjur sebagai salah seorang daripada 10 pemenang daripada sejumlah 200 poster yang dibentangkan di persidangan tersebut. 

“Saya sama sekali tidak menjangkakan akan memenangi anugerah ini kerana penyertaan saya di persidangan ini sekadar untuk berkongsi hasil penyelidikan serta menimba pengalaman dan ilmu pengetahuan baru dalam bidang kajian saya apatah lagi  kesemua poster yang dipertandingkan itu adalah amat informatif dan menarik  yang  memaparkan perkembangan terbaharu dan penemuan terkini dalam aplikasi teknologi kimia hijau (green chemistry) untuk pembangunan lestari alam sekitar,” katanya.  

Poster Award

Dia juga amat bersyukur dan berterima kasih kepada penyelianya Profesor Sudesh dan juga rakan-rakan yang juga menghadiri persidangan ini kerana banyak membantu dalam penyediaan bahan untuk poster serta memberi bimbingan dan nasihat untuk menyampaikan pembentangan yang terbaik. 

Su Yean menyertai persidangan ini bersama tiga lagi pelajar Ph.D di bawah penyeliaan Profesor Sudesh yang kesemuanya ahli Program Pertukaran Sakura 2015 yang memberi peluang kepada belia terpilih dari negara Asia mengadakan lawatan jangka pendek ke Jepun untuk pertukaran ilmu dalam bidang sains dan teknologI dengan kos penerbangan dan penginapan ditaja oleh Japan Science and Technology Agency (JST).  

Sementara itu, Sudesh yang turut serta ke persidangan tersebut melahirkan rasa bangganya dengan pencapaian Su Yean dan berharap persidangan itu membolehkan kesemua mereka menimba pelbagai ilmu daripada penyelidik dan pakar terkemuka dunia dalam bidang teknologi kimia hijau yang aplikasinya semakin berkembang pesat di seluruh dunia. 

Poster

Persidangan empat hari itu menghimpunkan hampir 800 peserta terdiri daripada ahli akademik, saintis, penyelidik, pelajar pasca siswazah, wakil industri dan pemimpin kerajaan dari serata dunia termasuk Singapura, Filipina, Amerika Syarikat, Jerman, Australia, India, Korea, Afrika Selatan, Jepun dan Malaysia. 

Teks: Tan Ewe Hoe  

  • Created on .
  • Hits: 2616

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024