TERUSKAN DIDIKAN HATI SELEPAS RAMADHAN
PULAU PINANG, 17 Julai 2015 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman menyeru masyarakat agar meneruskan didikan hati yang dilakukan sepanjang Ramadhan dapat diteruskan dalam membangunkan masyarakat mahupun universiti.
"Kita bersyukur kerana diberikan kesempatan dan dipanjangkan usia untuk melalui universiti Ramadhan dengan sempurna, mengerjakan segala suruhan dan mengelakkan segala yang dilarang melalui satu disiplin yang ketat yang dikawal oleh sendiri, keikhlasan dan sikap tawadhuk kita dalam menunaikan ibadah penuh keberkatan ini yang mendisiplinkan kita untuk melakukan segala kebaikan demi kemashlahatan jangan panjang diri kita mahupun masyarakat serta ummah seluruhnya," kata Omar berucap di Masjid Al-Malik Khalid sebelum menyertai jemaah untuk menunaikan solat sunat Aidil Fitri di sini hari ini.
Naib Canselor menyatakan kesyukurannya juga kerana warga USM seluruhnya amat prihatin dengan komuniti di mana sahaja berada dengan begitu banyak aktiviti kebajikan yang dibuat, menghulur sumbangan dan membantu mereka yang memerlukan malah pelbagai aktiviti sukarela termasuk membantu mereka yang ditimpa musibah dalam banjir besar Kelantan yang masih diteruskan.
"Saya juga berterima kasih kepada para sukarelawan yang membantu menyediakan juadah berbuka puasa dan bubur lambuk sepanjang Ramadhan di Pusat Islam USM," katanya lagi.
Naib Canselor turut menyeru agar komuniti antarabangsa yang berada di USM telah memanfaatkan pengalaman menghadapi bulan puasa di negara ini dengan menghargai kepelbagaian yang ada dan bersatu sebagai satu keluarga.
"Kita perlu bersyukur dengan keamanan dan kesejahteraan masyarakat serta menginsafi nasib saudara kita di negara-negara bergolak termasuk komuniti Rohingya dan mereka di Syria dan pelbagai negara lain," kata Omar.
Sementara itu, Khatib Khutbah solat sunat Aidil Fitri, Ustaz Zayd Zhari menyeru agar umat Islam meneruskan tarbiyyah Ramadhan dalam kehidupan seharian selepas melaluinya selama sebulan di samping menyambut Syawal mengikut syariat.
Sambutan Aidilfitri mesti mematuhi syariat. Layanan kepada tetamu adalah sama rata. Tarbiyyah Ramadhan menemui natijahnya apabila diteruskan pada bulan-bulan berikutnya.
"Kejayaan tarbiyyah Ramadhan sepatutnya melahirkan insan yang taqwa, ikhlas, tabah, syukur dan mempunyai belas kasihan serta akhlak yang baik dalam berhubung dengan masyarakat dan alam sekitar dengan tata susila yang sopan dan beradab sama ada dalam kalangan umat Islam mahupun bukan Islam," kata Zayd.
Tambahnya lagi, tarbiyyah Ramadhan sepatutnya juga melahirkan seorang yang kental imannya dan dermawan.
Menurut Zayd, amalan rumah terbuka dalam kalangan umat Islam adalah sesuatu yang baik dalam mengeratkan persaudaraan namun seharusnya dilakukan dengan berhemah dan tidak melupakan anak yatim dan fakir miskin tanpa membezakan kedudukan tetamu yang hadir serta mematuhi syariat.
Naib Canselor kemudiannya menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir, beramah mesra dengan para jemaah termasuk komuniti antarabangsa dan menghadiri jamuan raya yang diadakan di Pusat Islam USM.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1205