USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JURURAWAT BERAYA DENGAN PESAKIT DEMI TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB

KUBANG KERIAN, 17 Julai 2015 - Bersempena dengan lebaran ini, ketika umat Islam sedang bergembira bersama keluarga masing-masing apabila dapat beraya bersama di kampung halaman dengan kunjungan sanak saudara untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan hubungan silaturahim, pada masa yang sama terdapat pula mereka yang bertungkus lumus menunaikan tanggungjawab demi masyarakat.

Mereka melupakan seketika masa bersama keluarga dan memakai pakaian baharu di pagi Aidilfitri dan tentunya bagi yang tidak biasa dengan keadaan tersebut merasa sedih dan janggal apabila sambutan kali itu kurang meriah kerana tidak dapat beraya bersama keluarga.

Jururawat wad Pediatrik Hospital USM, Wan Nur Ain Nawawi berkata, berkhidmat sebagai jururawat hospital ada kalanya perlu bertugas di hari raya dan menggalas tanggungjawab berkenaan dengan ikhlas.

Wan Nur Ain yang sudah dua tahun tidak beraya bersama keluarga menganggap ini adalah tugas yang perlu digalas sebagai jururawat.

"Sebenarnya jika jururawat tersebut memang ada jiwa dalam bidang tugas mereka pasti tidak menjadi penghalang padanya untuk bekerja pada sebarang hari termasuk hari raya kerana bukan setiap tahun tidak dapat balik beraya, pasti akan ada penggiliran setiap jururawat dan ini sebenarnya pengorbanan besar jururawat seperti kami bertugas untuk merawat pesakit yang juga tidak dapat beraya bersama keluarga," katanya lagi.

Tambahnya, setiap jururawat biasanya akan membawa juadah masing-masing ke hospital untuk dikongsi bersama rakan yang lain dan pesakit yang turut dikunjungi sanak-saudara serta membawa pelbagai juadah hari raya.

Sejak berkhidmat di wad kanak-kanak, Wan Nur Ain mempunyai pelbagai kenangan manis dan berharga yang diperolehi kerana menganggap kanak-kanak yang menghuni wad seperti adik dan anak sendiri.

“Kelebihan juga kepada saya dan rakan yang lain apabila dapat bertugas di wad ini kerana suasana sentiasa ceria dan meriah dengan suara tawa kanak-kanak yang comel dan petah berkata dan sebagai jururawat, kami akan pastikan kanak-kanak yang datang ke wad ini berasa seperti berada di rumah sendiri bukannya di hospital kerana kami tidak mahu mereka muram dan terlantar tanpa keceriaan,” katanya.

Saat menggembirakan baginya ialah apabila melihat kanak-kanak yang dirawat telah sembuh dan aktif seperti sedia kala seperti mana perasaan seorang ibu yang gembira dan bahagia apabila anaknya kembali sihat.

“Kami beri layanan sebaiknya kepada pesakit kanak-kanak untuk mereka berasa selesa dan gembira serta melupakan kesakitan dialami apatah lagi ada sesetengah kanak-kanak ini perlu berada di hospital dalam jangka masa yang lama sehingga berbulan yang jika jururawat seperti kami tidak pandai mainkan peranan, maka susah untuk memujuk mereka melakukan rawatan atau memakan ubat,” katanya.

Sementara jururawat di wad sama, Suhaibah Saidin berkata, pada mulanya memang rasa janggal jika tidak dapat beraya di kampung namun apabila sudah biasa maka perkara itu boleh terima dan turut meraikannya bersama rakan bertugas yang lain.

“Jika rindu dan nak ucap salam kepada keluarga, saya selalu akan buat pesanan ringkas kepada keluarga atau gunakan teknologi terkini seperti videocall yang dengan kemudahan ini, walau pun tidak bersama secara fizikal tetapi dapat berkomunikasi bolehlah terubat sikit kerinduan ketika hari lebaran,” jelasnya yang berasal daripada Perak.

Suhaibah telah berkhidmat sebagai jururawat selama lima tahun dan sememangnya menjadi cita-citanya sejak kecil untuk membantu pesakit dan apabila ditugaskan di bahagian kanak-kanak, peluang itu amat disukai kerana gembira berada di wad menjaga anak-anak yang comel.

"Semangat serta tanggungjawab memberi perkhidmatan perawatan terbaik kepada pesakit menjadi keutamaan dalam segala hal yang walaupun pada hari raya, pesakit masih ada yang memerlukan rawatan apatah lagi kami ibarat satu keluarga dan masih boleh beraya sesama rakan yang sedikit sebanyak mengubati perasaan sedih kerana tidak dapat beraya dengan keluarga," katanya lagi.

Teks/Foto: Mohamad Iqmal Mathlan

  • Created on .
  • Hits: 1413

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024