HUSM MERAIKAN PETUGAS YANG BEKERJA PADA AIDILFITRI
KUBANG KERIAN, 17 Julai 2015 - Pengurusan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) meraikan kakitangan yang bertugas di pagi syawal Aidilfitri dengan menyediakan jamuan hari raya di bilik mesyuarat bangunan hospital.
Menurut Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Ustaz Muhamad Adli Abdul Razak, jamuan ini merupakan acara tradisi untuk menghargai dan berkongsi keriangan serta keceriaan dengan seluruh kakitangan yang bertugas di hari raya pertama Aidilfitri.
"Program ini diharapkan dapat memberi peluang kepada warga yang bertugas merapatkan silaturrahim sambil menikmati juadah yang di sediakan yang diharapkan dapat mewujudkan semangat kekeluargaan dan mengukuhkan perpaduan sesama warga
di samping memberi kesempatan untuk saling bermaaf-maafan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin," kata Muhamad Adli.
Penolong Pegawai Keselamatan Abdul Rafiq Azizan, 32, yang berasal dari Pulau Pinang yang pertama kali bertugas di hari raya sepanjang perkhidmatan selama enam tahun di USM menganggap majlis ini menjadi sentuhan yang paling bermakna yang memberi kegembiraan kepada petugas yang berkorban demi keselesaan pesakit.
Abdul Rafiq mengharapkan kakitangan yang bertugas di pagi raya tabah dan menghayati falsafah di sebalik sambutan hari raya ini sebaik mungkin dengan penuh keinsafan.
Menurut Ketua Jururawat Norhayati Mohamad, 45, program seumpama ini perlu diteruskan pada masa hadapan dengan melibatkan pesakit serta peneman terutamanya pesakit kanak-kanak."Kami berasa terharu dengan sambutan yang diberi walaupun jamuan ini di atas ketulusan dan keprihatinan universiti dalam menghargai para petugas di hari raya" katanya.
Jururawat Maheran Abd Aziz, 39, yang sudah lima kali menyambut Aidilfitri bersama pesakit sepanjang 17 tahun perkhidmatannya berkata, bekerja di pagi Syawal tidak menjadi masalah kerana beliau sudah biasa dengan keadaan ini.
"Perasaan sedih beraya jauh dengan keluarga terubat dengan sentuhan penghargaan pihak pengurusan memeriahkan dengan jamuan bersama kakitangan dari pelbagai jabatan dan unit yang sama-sama menyambut dengan pesakit," katanya.
Selain jamuan, majlis ini juga diselitkan dengan tazkirah ringkas "makna dan pengertian sambutan hari raya" oleh Ustaz Mohamad Adli Abdul Razak.
Yang turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pengarah Keselamatan, Kampus Kesihatan Edy Othman, Penolong Pengarah Kejururawatan Hajah Chik Husin dan Pegawai Hal Ehwal Islam Ustaz Rodian Hassan.
Teks/Foto: Wan Azahar Wan Ahmad
- Created on .
- Hits: 1034