HARGAI SEMUA YANG BERTUGAS DI HARI RAYA
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menzahirkan penghargaan kepada semua petugas yang sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat bakti mereka tatkala umat Islam menyambut perayaan Aidil Fitri nanti.
“Kita seharusnya menghargai jasa doktor dan jururawat yang bertugas di Hospital USM dan hospital-hospital lain juga, para pegawai keselamatan yang menjaga kampus serta pasukan polis dan semua yang berkorban untuk rakyat dan masyarakat tatkala kita menyambut hari raya nanti,” kata Omar.
Di Hospital USM, tidak kurang daripada 2,000 orang akan bertugas sepanjang musim perayaan ini di samping lebih 100 orang petugas keselamatan yang akan terus menjalankan kerja mereka dalam tempoh tersebut.
Dalam perutusan Hari Rayanya, Naib Canselor menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya kepada seluruh warga USM termasuk para alumninya di mana sahaja berada, begitu juga dengan pelajar dan mereka yang sedang melanjutkan pengajian di pelbagai institusi pendidikan tinggi.
“Saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua rakan USM, sama ada rakan industri, khidmat komuniti mahu pun sahabat-sabat lainnya dalam ikatan kekeluargaan yang erat dan bersatu padu,” kata Omar.
Naib Canselor juga menyeru agar semua pihak menggunakan perayaan ini untuk mengukuhkan perpaduan yang merentasi kaum dan agama dalam semangat saling bermaafan dan bertoleransi untuk keharmonian dan kemakmuran negara yang berterusan. - Teks: Mohamad Abdullah
klik untuk video : http://usmtv.usm.my/index.php/component/contushdvideoshare/player/2015/ucapan-raya-usm-2015
- Created on .
- Hits: 1173