YAYASAN USM JANA HAMPIR RM3 JUTA BANTU PELAJAR
PULAU PINANG, 14 Julai 2015 - Yayasan Universiti Sains Malaysia (Yayasan USM) akan menganjurkan empat program amal pada tahun ini untuk mengumpul dana bagi pelbagai tabung yang diwujudkan demi kesejahteraan dan kelestarian warga USM.
“Yayasan USM akan menganjurkan International Food Fair, Majlis Makan Malam Amal, Pertandingan Golf Amal serta Bike Week sebagai usaha untuk mengumpul sebanyak mungkin dana dari pelbagai pihak termasuk ahli korporat, alumni serta industri,” demikian ujar Pengurus Yayasan USM, Fadzilla Bosman.
Program yang dirancang ini akan mula dilaksanakan pada semester 2015/2016 iaitu pada September 2015 melalui kolaborasi dengan pelbagai pihak termasuk Kelab USM Super Bikers yang mempunyai ramai ahli dan peminatnya.
“Yayasan USM juga telah melancarkan Dermasiswa Kasih USM pada Mac 2015 yang lalu yang menfokuskan kepada usaha membantu pelajar yang tergolong dalam kalangan ‘the bottom billion’ dan akan mula mengagihkan dana bermula pengambilan pelajar pada semester hadapan,” tambah Fadzilla.
Yayasan USM mempunyai Lembaga Pemegang Amanah yang dipengerusikan oleh Pro Canselor USM Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dengan beberapa orang yang dilantik termasuk Pengerusi Lembaga Gabenor USM Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman.
“Yayasan USM ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258) pada 31 Mac 2014 dengan misi untuk menjana, merencana dan mengurus dana bagi menyokong dan membantu USM melaksanakan dan mencapai matlamat hala tujunya.
“Sumbangan kepada Yayasan USM boleh diklasifikasikan melalui 9 jenis tabung iaitu Tabung Kursi, Tabung Penyelidikan, Tabung Akademik dan Pengantarabangsaan, Tabung Libatsama (Komuniti dan Industri), Tabung Bakat (Biasiswa dan Hadiah), Tabung APEX, Tabung Bangunan dan Penyelenggaraan, Tabung Endowmen Islam dan Tabung Am,” jelas Fadzilla.
Jelasnya, sehingga Mac 2015, Yayasan USM telah mengumpul dana sebanyak RM2.8 juta termasuk pembinaan dua buah bangunan baru, kelengkapan makmal serta biasiswa pelajar.
Antara penyumbang yang terbaharu ialah alumni USM dari Indonesia dan profesor-profesor kanan USM.
Warga USM, alumni dan juga ahli korporat yang ingin menyumbang kepada Yayasan USM boleh melayari laman sesawang www.yayasan.usm.my untuk maklumat mengenai sumbangan secara atas talian. - Teks: Nor Rafizah Haji Md Zain
- Created on .
- Hits: 1400