USM CERIAKAN PESAKIT SEMPENA AIDILFITRI
PULAU PINANG, 14 Julai 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan terus membantu mereka yang memerlukan menerusi program-program libatsama komuniti yang akan diadakan selepas ini sebagai tanda prihatin terhadap masyarakat sekeliling di samping menceriakan mereka pada musim perayaan.
Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan duit raya dan barangan keperluan berupa buku cerita, pensel warna, biskut, barangan permainan dan makanan kepada kira-kira 230 orang pesakit kanak-kanak dan 50 orang dewasa bersempena Program Tautan Kasih Ramadhan Kali Ke-4, yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan (PPDU) USM dengan kerjasama BJIM di Hospital Besar Pulau Pinang hari ini yang jelas membawa kegembiraan kepada mereka.
Program amal USM bersempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama sahaja lagi ini turut diserikan dengan persembahan badut dan nyanyian lagu Aidil Fitri, Selamat Hari Raya serta Rasa Sayang oleh barisan kakitangan Pusat Pengajian (PP) Seni yang terdiri daripada para pensyarah dan staf serta Dewan Budaya USM yang dipimpin oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Jaringan Pusat Pengajian Seni Profesor Madya Dr. Razif Mohd.
Jelas See Ching Mey, kehadiran pihak USM ini diharapkan dapat memberikan motivasi untuk mereka terus berjuang dan bangkit melawan penyakit, malahan hiburan lagu yang disajikan berserta hadiah daripada maskot “badut” sedikit sebanyak mampu mengembalikan keceriaan dan kegembiraan dalam menyambut Syawal beberapa hari sahaja lagi.
“Apa yang dilihat selepas memberikan sumbangan duit raya dan hadiah, termasuk diserikan dengan hiburan kepada mereka, jelas terserlah kegembiraan di wajah anak-anak kecil ini walaupun kita mengetahui mereka dalam penderitaan meneruskan kehidupan,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, keistimewaannya kali ini ialah apabila cicit kepada pengasas B.Braun, yang juga Lembaga Pengarah (Pengerusi) syarikat tersebut, Anna Maria Braun yang sangat prihatin dan sayang kepada kanak-kanak, turut sama turun padang memberi sumbangan duit raya kepada pesakit.
Sementara itu, Pengarah Projek Program Tautan Kasih Ramadhan 2015 yang juga Pensyarah PPDU, Dr. Darshan Singh A/L Mahinder Singh menyatakan kegembiraannya dengan kerjasama erat yang diberi oleh semua pihak dalam menjayakan program kali ini.
"Kita berharap agar program-program libatsama komuniti sebegini akan terus dianjurkan bagi berkongsi kegembiraan dan keceriaan bersama insan-insan seperti ini dan yang terdekat bakal dianjurkan PPDU adalah program untuk pesakit kanser payudara pada bulan Oktober ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Penyelia Jururawat Hospital Besar Pulau Pinang Lee Khuan Yeng, 58, berkata program berkenaan merupakan lawatan keenam yang diterimanya sepanjang bulan Ramadhan, namun istimewanya berbanding lawatan-lawatan sebelum ini ialah iringan muzik latar dan nyanyian serta persembahan badut oleh pihak USM.
“Kehadiran USM sedikit sebanyak mampu meringankan kesakitan yang dialami oleh mereka dan anak-anak ini dapat berhibur menerusi rangkaian lagu nyanyian yang menceriakan dan kita dapat lihat keceriaan jelas terpancar di wajah setiap dari mereka,” ujarnya yang telah berkhidmat hampir 38 tahun di hospital berkenaan.
Turut hadir ke program ini ialah Pengurus Besar (Komunikasi Korporat, Asia Pasifik) B. Braun Medical Industries Sdn. Bhd. Joanna Ng; pegawai-pegawai BJIM; PPDU dan Pegawai Hospital Besar Pulau Pinang.
Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1793