KELAB KAKITANGAN JABATAN BENDAHARI BERI SUMBANGAN SEMPENA RAMADHAN
PULAU PINANG, 12 Julai 2015 - "Kita berkongsi sedikit rezeki yang diterima dengan golongan yang memerlukan, semoga sumbangan ini dapat membantu mereka membuat persiapan menjelang syawal yang akan menjelma tidak lama lagi."
Demikian kata Penaung Kelab Kakitangan Jabatan Bendahari (KKB) USM, Dr. Rohayati Mohd Isa di lokasi terakhir Program Kasih@KKB hari ini.
Program ini adalah untuk membantu dan meringankan beban masyarakat asnaf, golongan fakir miskin dan anak-anak yatim di lokasi-lokasi yang dikenalpasti di Pulau Pinang.
Antara lokasi-lokasi yang dikunjungi adalah di sekitar Bayan Baru, Ayer Hitam, Kampung Mengkuang, Mengkuang Titi Bukit Mertajam bermula dengan lokasi pertama di Kompleks Cahaya Siswa USM yang meraikan 25 anak yatim, 35 anak tahfiz Madrashah Fathur Rahman Jelutong dan 5 orang pelajar "Bottom Billion" USM.
Presiden KKB Ahmad Rithaudeen Ramli berharap agar rezeki yang Allah SWT berikan ini mendapat keberkatan dan dapat digunakan untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma kepada para penerima dan memanjangkan usia untuk bertemu lagi pada Ramadhan akan datang.
Ahli KKB, Encik Ahmad Hazran Yusof Hamdani berharap agar program mendekati golongan seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang dan sumbangan dapat dihulurkan kepada mereka untuk mereka gunakan bagi sambutan Aidilfitri.
Sumbangan yang diberikan kepada para penerima adalah berupa wang tunai yang dikumpulkan oleh staf-staf Jabatan Bendahari dan barangan keperluan asas harian.
Setiap rombongan wakil KKB terdiri daripada 9 orang staf.
Jabatan Bendahari USM merakamkan penghargaan kepada pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Dato' Dr. Radzi Othman, pengurusan Mahaad Tahfiz Fathur Rahman Jelutong, Sekolah Bayan Baru, Sekolah Mutiara Perdana dan Qariah Masjid Jamek Kampung Mengkuang Bukit Mertajam yang membantu menjayakan Program Kasih@KKB ini.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ihsan daripada KKB USM.
- Created on .
- Hits: 1389