HUSM BERI SUMBANGAN KEPADA PESAKIT HARGAI KOMUNITI
KUBANG KERIAN, 12 Julai 2015 – Sebagai menghargai dan menzahirkan perasaan sayang sesama insan, Pengurusan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) menghulurkan bantuan kepada komuniti yang memerlukan bagi meringankan beban mereka menyambut lebaran yang bakal tiba.
Pengarah HUSM, Dato’ Dr Zaidun Kamari berkata, hubungan komuniti seperti ini sememangnya penting demi kelangsungan operasi sesebuah organisasi.
“Aktiviti komuniti adalah teras pembinaan imej sesebuah organisasi dalam hubungannya dengan komuniti sebagai kumpulan sasaran utamanya sekaligus membangunkan reputasi organisasi yang positif,” kata Zaidun ketika ditemui di Kampung Kubang Keranji, Kota Bharu semasa menyampaikan bantuan hari raya kepada pesakit yang kurang berkemampuan.
Menurut Zaidun lagi, aktiviti bersama komuniti ini merupakan usaha yang berterusan dan tidak bermusim kerana melalui aktiviti ini HUSM akan mendapat maklum balas daripada komuniti bagi kelangsungan organisasi dengan memupuk hubungan baik yang berterusan.
Insentif yang dilakukan ini mendapat pujian ibu tunggal, Saleha Harapan Abdullah, 35, yang mempunyai seorang anak kelainan upaya, Natasya Mohd Zailani, 8, yang sedang dirawat di HUSM sejak dilahirkan kerana “Epilepsy with Global Development Delay”.
Saleha menganggap HUSM sebuah organisasi yang sensitif dengan realiti kepelbagaian masyarakat dan komuniti minoriti yang sering terabai dalam aktiviti komuniti.
Seorang lagi pesakit yang sedang menerima rawatan Hemodialisis di HUSM, Mohd Noor Deraman, 52, pula menganggap tanggungjawab sosial yang dijalankan HUSM merupakan usaha yang amat dibanggakan dan patut diteladani oleh lain-lain organisasi.
Lawatan ini turut disertai Ketua Penolong Pengarah Unit Sokongan Klinikal HUSM, Dr Tengku Mastura Tengku Mohd Mohamad dan Ketua Penolong Pengarah Unit Kebajikan Perubatan HUSM, Sharai Ibrahim. - Teks: Wan Azahar Wan Ahmad
- Created on .
- Hits: 917