MGTF BANTU GOLONGAN ASNAF
PULAU PINANG, 10 Julai 2015 - Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) Universiti Sains Malaysia (USM) mengimarahkan Ramadhan dengan menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf melalui program "MGTF Charity Tour".
Pengarah MGTF, Zolkurnian Hassan berkata, projek ini bertujuan memberi kegembiraan dan berkongsi rezeki dengan golongan asnaf supaya mereka dapat menikmati Hari Raya Aidil Fitri yang bakal tiba dengan keceriaan.
"Alhamdulillah, dengan sumbangan yang diberi oleh warga staf USM serta syarikat-syarikat yang pernah berurusan dengan MGTF kami dapat membantu mereka yang memerlukan bantuan yang diharap mampu memberi sedikit kegembiraan kepada para penerima yang dipilih berdasarkan maklumat asnaf yang diperoleh daripada Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang," kata Zolkurnian.
Tambahnya, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada khidmat sosial MGTF dalam menyahut seruan universiti untuk terus berbakti kepada masyarakat dalam program-program libatsama komuniti.
Menurut Zolkurnian, melalui program ini juga MGTF dapat lebih mendekati masyarakat dengan memberi sumbangan kepada tiga buah keluarga dan empat keluarga lagi akan menerima sumbangan sehingga awal Syawal nanti.
"Sumbangan disalurkan kepada penerima, tanpa penerima mengetahuinya sehingga kami sampai di rumah mereka dan ini juga merupakan program susulan dari tahun lepas dengan penambahan enam lagi keluarga," ujarnya lagi.
Tahun lalu MGTF menghulurkan bantuan kepada sebuah keluarga dengan berbuka puasa di rumah keluarga tersebut yang disusuli dengan pemberian dana pendidikan daripada Yayasan USM kepada anak yang cemerlang dalam pelajaran.
Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Ehsan dari laman facebook Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM
- Created on .
- Hits: 1316