SUMBANGAN BAJU RAYA CERIAKAN KANAK-KANAK MISKIN
KUBANG KERIAN, 10 Julai 2015 - Seramai 30 orang kanak-kanak yang terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan telah diraikan oleh Persatuan Jururawat Malaysia (PJM) cawangan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) yang membawa mereka membeli pakaian hari raya di kompleks membeli-belah Mydin Hypermarket di sini semalam menerusi Program Jom Beli Baju Raya 2015.
Pengerusi PJM Cawangan Hospital USM Hjh. Chik Hussin berkata, kanak-kanak itu masing-masing menerima peruntukan RM150 setiap seorang untuk membeli kelengkapan seperti baju raya, songkok, tudung dan kasut.
Katanya, program tersebut diadakan setiap tahun bagi memastikan kanak-kanak dari golongan itu dapat bersama-sama meraikan Aidilfitri dengan umat Islam yang lain dalam suasana meriah.
"Selain meraikan anak-anak yatim ini, pihak kami turut mengadakan aktiviti kebajikan seperti penyerahan sumbangan kepada anak-anak yatim dan sebagainya dan berharap agar bantuan ini dapat membantu mereka melalui Ramadhan dengan sempurna dan menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria," katanya lagi.
Hjh. Chik ternyata sangat tersentuh hatinya dengan melihat anak-anak ini apatah lagi mereka begitu teliti dalam soal harga barangan yang dibeli.
"Ada di antara mereka yang tidak mahu membeli baju kerana bimbang harganya yang mahal dan tentu sahaja saya kagum dengan mereka yang prihatin tetapi pada masa yang sama sedih dan terharu dengan sikap kanak-kanak ini," katanya.
Penerima sumbangan, Wan Ahmad Saifullah, 12, berkata, dia bersama seorang lagi adiknya yang pertama kali menerima bantuan baju raya berasa gembira kerana mendapat baju baru untuk Aidilfitri kali ini.
"Sejak kehilangan ibu pada tahun 2010, ayahlah yang bekerja keras membesarkan kami sekeluarga dan saya berharap pada tahun ini beban ayah berkurangan kerana tidak perlu membuat persiapan raya untuk kami adik beradik," katanya. - Teks: Mohd Iqmal Matlan
- Created on .
- Hits: 1008