REDAC BAKAL JADI PAKAR RUJUK SERANTAU
PULAU PINANG, 18 Feb.2015 – Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), Universiti Sains Malaysia (USM) bakal menjadi pusat rujukan terhadap kajian dan penyelesaian masalah saliran termasuk pengurusan air larian di peringkat Asean.
Terbaru, REDAC menjalin kerjasama dengan makmal penyelidikan hidraulik terbesar di Eropah, HR Wallingford Ltd bagi menumpukan kepada usaha memperkasa kepakaran dalam pengurusan dan penyelesaian isu air sungai, saliran dan banjir di negara ini.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, sesuai dengan perananannya sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) negara, REDAC perlu memperluas skop kepakaran untuk manfaat komuniti secara lebih holistik.
Katanya, kolaborasi dengan HR Wallingford Ltd adalah antara langkah yang tepat dalam mencari penyelesaian paling efektif untuk menangani bencana banjir, selain turut menjadi batu loncatan untuk pusat tersebut mengembangkan manfaatnya di peringkat serantau.
``Kerjasama dengan makmal yang mempunyai reputasi tinggi seperti itu membolehkan USM menyalurkan kepakaran untuk rujukan kepada masyarakat dan membantu pihak tertentu menyelesaikan isu-isu berkaitan termasuk banjir besar, banjir kilat dan sebagainya.
``Inisiatif ini turut diambil bagi membantu negara mencari cara terbaik untuk menguruskan bencana dan memperluas kepakaran tenaga akademik tempatan dalam hal-hal pencegahan serta amalan efektif pengurusan risiko bencana,’’ ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) dengan HR Wallingford Ltd. di Kubang Kerian, Kelantan baru-baru ini.
Hadir mewakili HR Wallingford ialah Pengurus Pembangunan Perniagaan Antarabangsanya, Geoffrey Wilson. Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan.
Turut serta dalam majlis penandatanganan itu ialah Pengarah Kampus Kesihatan dan juga Kejuruteraan, masing-masing Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed dan Profesor Dr. Zainal Ariffin Ishak.
Geoffrey dalam ucapannya pula menegaskan, pihaknya kagum melihat komuniti tempatan menguruskan bencana banjir di Kelantan baru-baru ini, termasuk melihat kesepakatan semua pihak dalam menghulur bantuan kepada mangsa yang terlibat.
Pun begitu katanya, masih ada penambahbaikan yang boleh dibuat dan pihaknya amat komited menjalin kerjasama dengan USM melalui REDAC untuk membantu rakyat Malaysia khususnya ketika berdepan bencana besar yang tidak diduga.
Tambahnya:``HR Wallingford telah menjalankan pelbagai kajian dan menjadi antara makmal terawal di dunia yang meneraju penyelidikan berkaitan banjir. Kolaborasi ini akan menjadi platform ke arah mencari penyelesaian lebih baik untuk masa hadapan.’’
Dalam pada itu, REDAC telah lama aktif dalam menjalankan penyelidikan dan menjadi konsultan terhadap kerja-kerja kejuruteraan sungai dan saliran bandar di negara ini.
Dalam tempoh 10 tahun kebelakang, REDAC yang kini diterajui Pengarahnya, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria juga telah menerima geran dari pelbagai agensi dengan jumlah melebihi RM20 juta bagi menjalankan penyelidikan dan inovasi berkaitan pengurusan sungai dan saliran bandar. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1668