USM TERUSKAN TRADISI RAI PELAJAR ANTARABANGSA
PULAU PINANG, 7 Julai 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan tradisinya meraikan para pelajar dan pensyarah dari pelbagai negara melalui majlis berbuka puasa dan sambutan Aidilfitri.
Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, USM menyediakan juadah berbuka puasa yang disediakan secara bergotong royong saban tahun yang sebahagian besarnya dimanfaatkan oleh pelajar dan pensyarah antarabangsa.
"Apatah lagi dalam suasana pelajar ijazah pertama bercuti panjang, aktiviti berbuka puasa dan mengimarahkan Masjid Al-Malik Khalid banyak disertai oleh komuniti antarabangsa di samping staf USM dan penduduk setempat," kata Omar.
Tambahnya lagi, juadah yang disediakan ini juga berupaya memperkenalkan budaya tempatan dalam mengeratkan silaturrahim dalam kalangan komuniti USM.
Naib Canselor berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa untuk Komuniti Antarabangsa yang diadakan di sini yang turut dihadiri oleh Timbalan-timbalan Naib Canselor dan isteri serta para pegawai kanan USM.
Pada masa yang sama, pelajar-pelajar antarabangsa menghargai usaha USM ini apatah lagi kepada perantau yang merindui kampung halaman tatkala melalui Ramadhan yang pastinya menggamit kenangan dengan pengalaman yang berbeza serta berjauhan dari keluarga.
Presiden Persatuan Pelajar Antarabangsa USM yang sedang menyelesaikan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari Pusat IPv6 Termaju, Muhammad Imran Sarwar, 32, menzahir rasa syukur dan gembira dapat berbuka puasa bersama-sama Naib Canselor dan pegawai utama USM apatah lagi kelainan USM yang menyediakan secara percuma juadah berbuka puasa.
“Saya sangat hargai peluang belajar di sini, dapat merasai budaya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan ini merupakan tahun ketujuh di Malaysia yang setiap kali tibanya Ramadhan, walaupun merindui kampung halaman namun bertuah kerana mempunyai rakan-rakan baik dari sini mahu pun negara lain yang banyak membantu,” katanya yang berasal dari Pakistan.
Katanya, tradisi kunjung-mengunjung ke rumah rakan-rakan yang berbeza agama, bangsa dan latar belakang terus menjadi amalan dan budayanya selama berada di Malaysia dengan pengalaman berbuka puasa di negara ini yang berbeza dengan di negaranya.
Perasaan yang sama turut dirasai oleh pelajar dari Bangladesh, Mohammad Bodrul Munir, 37, yang telah dua tahun menetap di Malaysia kerana mengikuti pengajian di peringkat Ph.D, menyifatkan negara ini merupakan tempat yang amat sesuai untuk menyambung pelajaran kerana majoriti penduduk yang beragama Islam memudahkan urusan dilaksanakan seperti solat dan sebagainya.
“Saya sangat teruja melihat kepelbagaian budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini yang tinggal secara harmoni, malahan kawan-kawan di sini begitu peramah dan mesra melayan kami dari negara luar,” katanya lagi.
Pelajar Pusat Pengajian Kajihayat USM itu menambah, dia dapat menyesuaikan diri dengan suasana kehidupan masyarakat di Malaysia memandangkan tidak banyak perbezaan dari segi makanan dan cara hidup selain berbangga dapat belajar di universiti ini.
Rakannya, Nadia Farhana, 37, turut mengakui rata-rata masyarakat di Malaysia baik dan sentiasa mengukir senyuman walaupun menyedari dia bukan dari kalangan rakyat Malaysia selain menyifatkan pengalaman berbuka puasa di sini sangat membuka selera.
Nadia Farhana sedang menghabiskan pengajian peringkat Ph.D di Pusat Pengajian Pengurusan turut memberitahu, dia amat gembira berada di Malaysia khususnya di USM kerana pada bulan Ramadhan berpeluang mengerjakan solat sunat Tarawih bersama-sama rakan-rakan dari negara yang berbeza selain dapat mengeratkan lagi ukhuwah sesama mereka.
“Di Malaysia, sajian nasi disediakan semasa berbuka puasa berbanding di negara kami yang sajiannya berbeza, namun saya beruntung kerana dapat merasai perbezaan ini,” katanya yang tinggal di sini bersama anak perempuan tunggalnya.
Calon Ph.D dari Nigeria, Michael B. Aleyomi, 35, berkata, walaupun bukan beragama Islam namun dia gembira kerana dapat menimba peluang mengenali secara lebih dekat budaya Malaysia ketika berada di USM terutamanya dari segi makanan dan cara hidup yang disifatkan sebagai unik kerana masyarakat di sini tinggal secara harmoni walaupun berbilang kaum.
“Sikap prihatin dan penyayang rakyat Malaysia dan warga universiti merupakan antara kelebihan di sini yang walaupun baru lima bulan berada di Malaysia namun saya sangat selesa dan berharap akan berkekalan sehingga tamat pengajian nanti,” ujar pelajar Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan itu lagi.
Dalam pada itu, calon Ph.D dari Pusat Pengajian Sains Komputer, Pantea, 32, yang telah enam tahun menetap di Malaysia memberitahu Malaysia merupakan rumah keduanya selepas Iran.
“Malaysia merupakan rumah kedua saya, malah sejak pertama kali menjejakkan kaki ke sini saya dapat rasai keharmonian, selain makanannya yang enak-enak dan yang paling penting berpeluang merasai pengalaman berhari raya dan melihat sendiri budaya dan sambutan hari kebesaran masyarakat lain,” kata wanita cantik ini dalam nada yang gembira.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan pengkhususan English For Professionals (EFP), Benjamin Cutler, 23, berkata, tahun ini merupakan kali pertama baginya untuk cuba berpuasa memandangkan baharu memeluk Islam.
“Saya begitu teruja untuk berpuasa kerana selain dari ibadah wajib sebagai orang Islam, ia melatih sifat sabar dan berpeluang untuk menjaga kesihatan, walaupun penat namun saya berusaha untuk berpuasa penuh,” ujarnya lagi yang bakal berkahwin dengan seorang wanita Melayu Ogos depan.
Tambah Benjamin lagi, dorongan daripada bakal isteri dan rakan-rakan beragama Islam yang lain berjaya menjadikan ibadah puasa pertama Ramadhan tahun ini meriah dan sempurna dengan pelbagai program serta aktiviti yang dianjurkan, selain mengubati kerinduannya terhadap keluarga tersayang selama belajar di sini.
Naib Canselor dan pegawai-pegawai utama USM turut beramah mesra bersama para pelajar antarabangsa dan diikuti dengan majlis berbuka puasa dan Solat Maghrib.
Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1736