USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WARGA USM DISERU PERTINGKAT AMALAN KEROHANIAN SEPANJANG RAMADHAN

image 5

PULAU PINANG, 3 Julai 2015 - Bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia dan seluruh umat Islam digesa mempertingkatkan amalan kerohanian kerana mungkin pada tahun hadapan kita tidak akan bertemu Ramadhan lagi.

Demikian pesan penceramah jemputan untuk Program Ramadhan ‘AWESOME’ 2015 bertajuk ‘Cinta Ramadhan’, Al-Fadhil Ustaz Wadi Annuar Ayub yang dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Tabung Pembangunan Sumber Manusia USM.

Tambahnya, persiapan kerohanian terhadap agama amatlah penting kerana ia adalah bekalan untuk setiap umat Islam bagi menghadapi hari perhitungan di akhirat kelak.

iamge 3

image 2

“Hayatilah bulan Ramadhan yang hanya menjelma setahun sekali ini dan ambil segala kenikmatan dan keberkatan yang terkandung di dalamnya sebagai bekalan di akhirat," tambahnya lagi yang juga merupakan seorang pendakwah dan ahli panelis program Al Kuliyyah di TV3.

Menurut Presiden Tabung Pembangunan Sumber Manusia USM, Erman Kamal Mustafa Kamal, program ini merupakan perkongsian dan pemindahan ilmu antara warga USM dengan masyarakat di luar kampus mengenai pemahaman Ramadhan secara lebih terperinci dan menyeluruh.

“Universiti ini merupakan gedung ilmu dan majlis ilmu seperti ini dapat digunakan sebagai platform untuk perkongsian berkenaan hikmah yang tersembunyi di dalam bulan Ramadhan ini," kata Erman Kamal.

image 4

Beliau juga berbesar hati agar program ini dapat disertai oleh komuniti luar USM serta warga USM sendiri agar manfaat yang diperolehi dapat dikongsi oleh semua yang hadir dan diaplikasikan untuk memperolehi keberkatan Ramadhan dengan lebih baik.

Program yang diadakan di Dewan Persidangan Universiti ini dihadiri oleh kira-kira 100 orang termasuk ahli qaryah masjid sekitar USM. Sesi perkongsian seterusnya pula akan diadakan pada 10 Julai 2015 (Jumaat).

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ihsan daripada Erman Kamal Mustafa Kamal.

  • Created on .
  • Hits: 905

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024