USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SUPER BIKERS PERKENAL YAYASAN USM KEPADA MASYARAKAT

PULAU PINANG, 4 Julai 2015 – Dalam usaha memperkenal dan mempromosikan Yayasan Universiti Sains Malaysia (USM) kepada masyarakat, beberapa program akan dicadangkan menerusi aktiviti-aktiviti harian oleh pasukan USM Super Bikers untuk membantu meningkatkan tajaan bagi membolehkan lebih banyak program libat komuniti-universiti dilaksanakan.

Demikian kata Pensyarah Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP) Universiti Sains Malaysia (USM) dan Presiden Kelab USM Super Bikers, Profesor Madya Dr. Hassim Mat semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak dari Rumah Anak Yatim Nasyiatul Aisyah, di Ruang Pameran (Drum) PPPBP, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Hassim berharap agar program-program yang bakal dicadangkan kelak akan membantu mempromosikan lagi Yayasan USM kepada masyarakat.

Sementara itu, Pengasas Rumah Anak Yatim Nasyiatul Aisyah, Ustazah Rohani Hussainsa berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada pihak Kelab Kakitangan PPPBP USM dan PPPBP yang banyak membantu keperluan harian anak-anak yatim tersebut sejak 13 tahun yang lalu.

Jelas Rohani, hampir setiap bulan kelab tersebut memberi bantuan susu tepung dan minuman koko kepada rumah tersebut selain bantuan-bantuan yang lain hasil sumbangan warga PPPBP.

“Alhamdulillah, kami gembira dan bersyukur dengan penganjuran majlis berbuka puasa seperti ini, semoga usahanya diberkati ALLAH SWT,” katanya.

Penghuni Rumah Nasyiatul Aisyah, Nur Aisyah Mohd. Azhar, 14, berkata, dia sangat gembira dengan majlis berbuka puasa yang dianjurkan PPPBP pada hari ini, selain memberitahu ingin menggunakan duit raya yang disumbangkan untuk membeli kasut baharu.

“Selalunya ibu yang akan menemani saya dan adik-adik yang lain membeli baju baharu, setelah kehilangan ayah beberapa tahun lalu," ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Balik Pulau itu lagi.

Pelajar Tingkatan Satu SMK Seri Balik Pulau, Nurul Fatin Najiha Anuar, berkata, duit raya yang diperolehnya pada hari ini akan digunakan dengan sebaiknya, selain mengucapkan terima kasih kepada pihak PPPBP dengan pemberian tersebut.

Projek komuniti yang telah bermula sejak tahun 2003 itu menampilkan kelainannya pada tahun ini apabila anak-anak yatim tersebut diiringi oleh pasukan USM Super Bikers dari Taman Pekaka sehingga ke PPPBP USM.

Tidak hanya diraikan dalam majlis berbuka puasa, seramai 30 orang anak dan penjaga rumah tersebut juga turut menerima sumbangan berupa duit raya dan hamper yang disampaikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman.

Hadir sama ialah Dekan PPPBP, Profesor Dr. Aldrin Abdullah dan Timbalan-Timbalan Dekan serta staf PPPBP. - Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah/Foto:Mohd Fairus Md.Isa

  • Created on .
  • Hits: 1205

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024