RAMADHAN MENGGAMIT KASIH SAYANG
KUBANG KERIAN, 3 Julai 2015 - Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hambaNya.
Hal ini dinyatakan oleh Pengarah Pejabat Transformasi Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Hj Elias Zakaria dalam ceramah khasnya kepada warga Kampus Kesihatan baru-baru ini melalui syarahannya yang bertajuk ‘Ramadan Menggamit Kasih Sayang Allah.’
Seramai 250 orang staf menghadiri program ini yang dianjurkan oleh Pusat Islam Kampus Kesihatan USM.
"Pada malam sepanjang bulan Ramadhan umat Islam hendaklah sentiasa bermunajat pada Allah kerana terdapat 3 golongan orang yang Allah perkenankan doa, iaitu orang yang sedang berpuasa, orang yang meminta ampun dan orang yang bertaubat kepada Allah apatah lagi pada bulan Ramadhan yang penuh keberkatan," kata Ellias.
Menurutnya lagi, pada awal Ramadan adalah penuh rahmah, di tengah-tengahnya maghfirah dan dihujungnya kebebasan dari api neraka seperti mana Rasulullah s.a.w menyatakan sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan ditambat para syaitan.
Jelasnya lagi, apa yang menyedihkan ialah terdapat ramai orang yang berpuasa perut sahaja, tetapi matanya tidak berpuasa sebaliknya digunakan untuk melihat perkara-perkara maksiat, manakala telinga pula digunakan untuk mendengar hiburan-hiburan yang melalaikan dan lidah digunakan untuk mengumpat, menipu, mengeluarkan perkataan keji atau sekurang-kurang membuang masa dengan sembang kosong dengan tangan dan kaki masih digunakan untuk membuat maksiat seperti memberi rasuah dan melangkah ke tempat-tempat yang tidak sewajarnya.
“Puasa yang disyariatkan oleh Allah S.W.T bukanlah sekadar memerintahkan umat Islam meninggalkan makan dan minum di siang hari tetapi mempunyai matlamat yang jelas untuk melahirkan manusia yang bertakwa kepada Allah,” katanya lagi.
Teks: Shazleen Hashim/Foto: Abdul Aziz Latif
- Created on .
- Hits: 974