RAWATAN PEMBEDAHAN BARIATRIK ATASI MASALAH OBESITI
KUBANG KERIAN, 2 Julai 2015 - Kegemukan bermasalah atau ‘morbid obesity’ ditakrifkan sebagai Indeks Jisim Badan (Body Mass Index - BMI) yang melebihi 35 hingga 40 serta mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.
Masalah ini berpunca akibat pengambilan lebihan kalori dan kurang melakukan senaman seterusnya menyumbang kepada gangguan terhadap kerja seharian, tidur berdengkur, sakit sendi terutama lutut, gastrik dan kemandulan.
Rawatan pembedahan merupakan salah satu cara untuk mengatasi masalah kegemukan selain rawatan popular secara berdiet yang memerlukan dedikasi tinggi dan penggunaan ubat yang akan mengundang kesan sampingan dalam jangka masa panjang.
Menurut pensyarah Jabatan Surgeri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Nizam Md Hashim, rawatan bariatrik seperti 'sleeve gastrectomy' adalah rawatan pembedahan mengecilkan perut.
"Pembedahan ini akan menyebabkan pesakit makan dengan kuantiti yang sedikit disebabkan saiz perut yang berkurangan dan mereka akan cepat berasa kenyang," katanya semasa ditemubual dalam program radio tempatan di sini.
Menurut Mohd Nizam, masyarakat masih belum menyedari tentang rawatan pembedahan ini yang sebenarnya masih baharu walaupun perlaksanaanya telah lama wujud.
Tambahnya lagi, pembedahan ini dapat membantu menyembuhkan penyakit sampingan yang lain dan dalam jangka masa tertentu pesakit yang mengidap kencing manis dan darah tinggi akan mendapat manfaat seperti sembuh sepenuhnya atau berkurangan dari segi kadar pengambilan ubat semasa.
Mohd Nizam menjelaskan, pesakit biasanya terlebih dahulu akan diberi khidmat nasihat daripada pakar sebelum memberi persetujuan untuk meneruskan rawatan ini.
"Ini penting bagi setiap pesakit mengetahui keperluan melaksanakan pembedahan seperti tindakan awal sebelum pembedahan serta cara penjagaan selepas pembedahan supaya tiada kesan sampingan yang tidak diingini berlaku dan kerjasama pesakit dalam mematuhi keperluan ini amat diharapkan," kata Mohd Nizam.
Teks/Foto: Mohd Hafiz Yaacob/Muhd Zulkifli Zakaria
- Created on .
- Hits: 4612