BANGUNKAN MEKANISME BERSEPADU JAYAKAN DASAR KESEJAHTERAAN SOSIAL
KUALA LUMPUR, 2 Julai 2015 - Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) perlu bangunkan satu mekanisme bersepadu untuk membantu pelaksanaan dasar kesejahteraan sosial.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanathan, universiti-universiti perlulah membangunkan satu mekanisme bersepadu berteraskan nilai-nilai universal yang dikongsi bersama secara sepunya yang merentasi apa jua perbezaan yang ada untuk dikongsi bersama, bukan sahaja untuk menjadi indeks yang mampu mengukur kesejahteraan sosial tetapi juga menjadi nilai yang dapat dibangunkan dan diterjemahkan secara bersepadu.
Katanya, dalam meraikan kepelbagaian yang ada dalam masyarakat majmuk misalnya seperti yang terdapat di negara ini, nilai-nilai bersama seperti kasih sayang, keadilan sosial, hormat menghormati, akal budi yang tinggi dan sebagainya seperti mana yang digariskan dalam Rukun Negara perlulah dijadikan landasan utama untuk mengekang segala ancaman yang ada termasuk membina mekanisme ketahanan diri yang utuh agar segala maklumat yang diberi tidak diterima begitu sahaja oleh masyarakat kita.
Berucap merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kepimpinan IPT Dalam Perekayasaan Kesejahteraan Sosial Negara anjuran Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) bersama Majlis Profesor Negara (MPN) Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kamalanathan menjelaskan, dengan mengambil semangat pengorbanan rakyat negara ini dalam pemerkasaan kerja sukarela semasa banjir besar dahulu, agenda kesejahteraan sosial boleh dilakukan melalui usaha kemanusiaan yang jitu dan perlu diteruskan pada masa hadapan.
Tambahnya, dalam sektor pendidikan misalnya, kita telah melihat bagaimana universiti menggemblengkan kekuatan warganya termasuk kepakaran yang ada untuk menjayakan usaha mensejahterakan masyarakat yang seharusnya diberikan hakupaya dan pemerkasaan yang berterusan.
“Kepimpinan universiti yang prihatin kepada masyarakat akan merapatkan lagi jurang yang ada, di antara apa yang diajar di universiti dengan realiti yang ada dalam masyarakat hari ini dan masa hadapan serta bagaimana pembudayaan penyelidikan dan inovasi dapat dimasyarakatkan melalui usaha ini dan kesejahteraan dapat dijadikan agenda untuk pembangunan ilmu yang berterusan dari dalam kalangan para cendekiawan dan mahasiswanya selaras dengan usaha pemindahan ilmu yang begitu banyak dilakukan sekarang ini yang juga menjadi satu daripada Program Agenda Kritikal Kementerian Pendidikan yang pada masa ini diterajui oleh USM,” katanya lagi.
Tambahnya, membangunkan nilai-nilai universal ini perlu menjadi teras kepada kesejahteraan sosial yang ada terutamanya bagaimana kesepaduan yang berteraskan juga kepada nilai-nilai murni dan integriti yang tinggi mampu menjamin kelangsungan kesejahteraan dalam jangka panjang serta disepadukan dalam kepimpinan yang ada untuk memastikan hasrat murni ini akan sentiasa dijulang dalam kerangka ilmu dan ilmuan yang ada.
Kamalanathan turut menyentuh tentang cabaran yang ada sekarang ini dalam pelbagai isu kesejahteraan sosial termasuk pengaruh media sosial dan kepantasan sebaran maklumat yang jika tidak ditangani sebaiknya akan membawa ancaman kepada masyarakat, misalnya hal-hal yang berkaitan apa yang berlaku seharian yang dahulu mungkin mengambil masa yang panjang untuk menanganinya, tetapi kini memerlukan tindakan segera dalam memastikan maklumat tidak tersebar tanpa kawalan.
Terdahulu, dalam ucapannya Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal berkata, tanggungjawab besar kepimpinan universiti kini adalah untuk menggembleng kekuatan sumber-sumber yang ada untuk menjayakan dasar kesejahteraan sosial negara dengan menunjukkan contoh dalam membangunkan satu model yang sesuai dan berpandangan jauh.
Tambahnya lagi, universiti dengan kekuatan ilmu saintifiknya, seni dan budaya serta pelbagai disiplin ilmu lainnya mampu melahirkan pemikiran besar dalam konteks kesejahteraan sosial serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat secara berterusan.
“Ini termasuklah juga dalam mendidik anak-anak muda kita para mahasiswa untuk berfikiran terbuka dan melihat kepentingan masyarakat mengatasi kepentingan peribadi dan diberikan penghakupayaan dan kepercayaan dalam pemikiran dan tindakan untuk pembangunan masa hadapan masyarakat, negara dan dunia,” kata Ahmad Shukri yang berucap mewakili Naib Canselor USM.
Hadir sama ialah Pengarah Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) Profesor Dr. Mohd. Majid Konting dan Ketua Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan Majlis Profesor Negara Profesor Datuk Dr. Roziah Omar.
Seramai 170 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli akademik dan cendekiawan menghadiri konvensyen sehari tersebut.
Teks: MOHAMAD BIN ABDULLAH
- Created on .
- Hits: 1275