MGTF USM ANJUR PAMERAN 'SELEPAS BANJIR'
PULAU PINANG, 17 Februari 2015 – Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah Universiti Sains Malaysia (MGTF USM) kini sedang menganjurkan pameran bertajuk 'Selepas Banjir', bermula dari 11 Februari sehingga 7 Mac 2015 nanti.
Menurut Pengarah MGTF USM, Zolkurnian Hassan, sebanyak 150 hasil seni dipamerkan, yang menggambarkan penderitaan dan kesengsaraan penghuni bumi Gua Musang, Sungai Sam dan Manik Urai di Kelantan.
"Karya-karya kreatif ini dihasilkan oleh Mohd Radzi Abdul Kadir yang merupakan staf Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Nasir Ali, seorang jurufoto amatur yang kini bertugas di Terengganu."
Tambah Zolkurnian lagi, idea untuk mengadakan pameran ini tercetus setelah pihak MGTF USM diperkenalkan oleh seorang kenalan kepada Mohd Radzi dan Nasir.
'Setelah melihat hasil karya seni mereka, pihak MGTF USM berpendapat, ada baiknya gambar-gambar ini dipertontonkan kepada umum, supaya masyarakat dapat melihat dan mengambil iktibar atas musibah ini.'
Zolkurnian juga berharap jemputan dari pihak MGTF kepada Mohd Radzi dan Nasir dapat dipenuhi agar mereka dapat berkongsi pengalaman berharga itu secara langsung dengan masyarakat kampus umumnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai pameran 'Selepas Banjir' ini, orang ramai boleh menghubungi pihak MGTF USM di talian 04-653 3261 / 04-653 4789. Teks: Mohamad Danial Shahri/Foto: Mohd Fairus Md Isa.
- Created on .
- Hits: 1592