USM CADANG BEKERJASAMA DENGAN UMK DAN POKB LANCAR KEMPEN KEBERSIHAN
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Jun 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) bercadang untuk berkolaborasi dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) untuk melancarkan kempen kebersihan besar-besaran di negeri Kelantan sedikit masa lagi.
Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, ini adalah satu khidmat masyarakat universiti dan pertubuhan sukarela untuk dilaksanakan dengan menggemblengkan kepakaran dan kekuatan yang ada secara bersama-sama untuk meningkatkan kesihatan awam.
"Kita berharap dapat berbincang segera dengan pihak UMK tentang hal ini yang berfokus dahulu kepada bandar Kota Bharu melalui kepakaran yang ada dan menggunakan segala sumber termasuk para pelajar baharu yang akan mendaftar diri di kampus serta pelajar lama yang kembali mengikuti pengajian pada bulan September ini," kata Omar setelah menyampaikan sumbangan sempena Majlis Ifthaar Kampus Kesihatan di sini.
Omar menyampaikan sumbangan duit raya kepada 27 orang anak-anak dari Pusat Darul Kautsar Yatim Kubang Kerian dan sumbangan khas kepada dua orang pelajar USM. Beliau turut menyampaikan sumbangan komputer kepada Pusat Darul Kautsar Yatim.
Terdahulu dalam ucapannya, Naib Canselor menyeru agar seluruh warga USM bekerja bersama-sama dengan ikhlas dan berpekerti mulia.
"Marilah kita bekerja bersama-sama menunaikan amanah yang ada untuk memacu kecemerlangan dan membawa universiti terus ke hadapan dalam semua perkara yang menjadi tanggungjawab bersama," kata Omar.
Beliau turut menasihatkan warga USM agar bersederhana dalam menyambut hari raya kelak serta berjimat dalam berbelanja.
Naib Canselor turut memaklumkan tentang usaha USM untuk mendapatkan kelulusan bagi membolehkan solat Jumaat dilakukan di masjid Pusat Islam USM sebagai kemudahan kepada warga kampus serta mereka yang bertugas dan berurusan di Hospital USM.
Hadir sama ialah Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) Dato' Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad, Timbalan-timbalan Naib Canselor USM, Pengarah Kampus Kesihatan USM Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed, Dekan-dekan dan Pengarah Hospital USM Dato' Dr. Zaidun Kamari serta ketua-ketua jabatan USM.
Naib Canselor berada di Kampus Kesihatan USM untuk mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) dan mendengar pembentangan oleh Kumpulan Pemikir Muda Strategik Sains Perubatan serta pembentangan tentang usaha membangunkan USM 2020 terutamanya dalam konteks Sains Perubatan. - Teks: MOHAMAD BIN ABDULLAH
- Created on .
- Hits: 1312