HUBUNGAN DUNIA MELAYU – NEGARA CHINA BERMULA ABAD KEDUA SEBELUM MASIHI
PULAU PINANG, 29 Jun 2015 - Hubungan dunia Melayu dengan negara China dikatakan bermula seawal kurun kedua Sebelum Masihi yang berfokus kepada usaha perdagangan dan ekonomi membuktikan bahawa dunia Melayu adalah pusat pembangunan penting sejak zaman itu yang diiktiraf oleh kuasa besar seperti negara China.
Menurut Pensyarah Kanan dan Pakar Sejarah Indonesia-Asia Tenggara serta Proto-Sejarah, Dr. Nazarudin Zainun, 46, kajian dilakukan pihaknya menunjukkan bahawa hubungan akrab dunia Melayu dengan negara China yang berasaskan kepada perdagangan dan ekonomi ini telah berlaku begitu awal yang sekaligus membuktikan bahawa dunia Melayu sememangnya telah berkembang sebagai pusat pembangunan ekonomi yang penting ketika itu.
“Menariknya ialah hubungan ini berlaku sejak Dinasti Han sekitar tahun 147 – 81 SM yang berterusan dengan melibatkan orang-orang Melayu ketika itu terutamanya dalam fasa pemberian ufti sebagai hadiah dan pengiktirafan kepada kerajaan China ketika itu sebagai tanda hormat dan pengiktirafan,” kata Nazarudin.
Jelasnya lagi, pemberian ufti pada zaman itu adalah satu lambang persefahaman yang diberikan oleh dunia Melayu berdasarkan catatan China yang juga membuktikan kehebatan orang Melayu ketika itu dalam teknologi pelayaran dan perdagangan sehingga mampu untuk sampai ke negara tersebut.
“Yang jelas, negara China walaupun mempunyai hubungan yang akrab dengan dunia Melayu, mereka tidak pernah menjajah sebaliknya lebih berdasarkan kepada penghormatan dan persefahaman yang terbina ketika itu kerana pada zaman tersebut pelayar-pelayar Melayu dalam kerajaan maritim digunakan untuk membantu para pedagang dari China,” kata Nazarudin.
Tambahnya lagi dalam konteks zaman itu, berdasarkan catatan sejarah, ufti adalah tanda persahabatan dan pengiktirafan terhadap sesuatu kerajaan yang kuat dan hanya kerajaan yang kuat sahaja yang diterima uftinya oleh kerajaan China.
“Yang paling sukar dalam kajian seperti ini ialah untuk mencari bukti bertulis dan catatan-catatan masa dahulu yang sebahagiannya berjaya diperjelaskan melalui kajian arkeologi yang dibuat,” kata Nazarudin.
Beliau menyatakan hal ini tatkala membincangkan penemuan dari kajian yang dilakukan olehnya dan beberapa orang penyelidik yang dibukukan hasilnya dalam judul “Perdagangan Dunia Melayu-China Hingga Kurun Ke-16 Masihi – Satu Tinjauan Sejarah dan Arkeologi” yang disunting Nazarudin bersama-sama Nasha Rodziadi Khaw yang baharu diterbitkan oleh Penerbit USM. Kajian tersebut menggunakan geran penyelidikan sekitar RM140,000 yang bertajuk Kerajaan-kerajaan Melayu yang Hilang (kurun ke-3 hingga ke-13 Masihi): Dari Segenting Kra ke Tanjung Piai – Satu Kajian Sosioekonomi dan Sosial.
Menurut Nazarudin, impak paling utama kajian ini ialah bukti-bukti sejarah dan arkeologi yang ada menunjukkan betapa hubungan antara dunia Melayu dengan China tidak pernah terputus dan kemudiannya juga berjaya melahirkan ramai cendekiawan Melayu.
Sementara itu, penyelidik Arkeologi yang kini berada pada peringkat akhir ijazah kedoktoran dari University of Peshawar, Nasha Rodziad Khaw, 30, kajian yang dilakukan ini begitu penting dari segi bukti arkeologi yang menunjukkan bahawa hubungan China dengan dunia Melayu bermula daripada perkembangan ekonomi yang pesat dan kemudiannya berlaku hubungan simbiosis timbal balik antara kedua-dua pihak.
Jelasnya, bukti-bukti arkeologi juga menunjukkan bahawa hubungan ini membuktikan kewujudan pedagang-pedagang Melayu pada abad Sebelum Masihi dan terdirinya dunia Melayu yang hebat dari segi perdagangan dan ekonominya.
“Kerajaan China mengiktiraf usaha perdagangan dan ekonomi dunia Melayu ini terutamanya dalam usaha mendapatkan bahan-bahan dagangan tempatan dan pada masa yang sama membantu agar kerajaan dunia Melayu terus berjaya kerana keperluan ekonomi tersebut,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, pada asasnya dari hubungan awal berdasarkan ekonomi ini membawa kepada hubungan politik dan diplomatik dan kemudiannya budaya sehingga membentuk dan mencorak masa hadapannya, apatah pembangunan ekonomi dunia Melayu juga banyak dipengaruhi oleh perkembangan politik yang berlaku di negara China ketika itu.
Buku setebal 170 halaman ini mengumpulkan 10 hasil kajian yang dibuat dengan melibatkan 14 orang penulis dari pelbagai bidang kepakaran termasuk GIS Sejarah yang membangunkan pangkalan data menggunakan perisian GIS.
Buku ini melihat kepada pelbagai aspek masa lalu berdasarkan bukti sejarah dan arkeologi termasuk misalnya mengupas tentang bukti kewujudan awal orang Melayu, kehebatan orang Melayu sebagai pelayar terutamanya melalui wujudnya kerajaan maritim walaupun terdapat juga mereka bergiat dalam kerajaan agraria yang berasaskan kepada pertanian.
Antaranya ialah Perhubungan Perkapalan dan Perdagangan Nusantara-China Sejak Zaman Awal oleh Profesor Madya Dr. Ahmad Jelani Halimi, Hubungan Ufti China-Dunia Melayu Sebelum Masihi Hingga Kurun Ke-11 Masihi: Satu Analisis oleh Dr. Nazarudin Zainun dan Nasha Rodzaidi Khaw, Perdagangan Dunia Melayu-China: Kajian Kes Kerajaan Awal Kelantan yang ditulis oleh kedua-dua penyelidik tersebut bersama-sama Profesor Madya Dr. Tarmiji Masron dan Zulkifli Jaafar serta Jumpaan Seramik Beruas Bukti Hubungan Dagangan dengan China yang ditulis oleh Dr. Mohamad Hanif Md. Noor dan Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin.
Teks: Mohamad Abdullah & Siti Naquiah Abdillah/Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin
- Created on .
- Hits: 2312