USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INNO4C BERI SINAR KEPADA GOLONGAN YANG PERLU BANTUAN

 DSC8822fghg

PULAU PINANG, 29 Jun 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan projek khas yang dikenali sebagai Inovasi Untuk Komuniti (INNO4C), satu inisiatif yang membolehkan golongan kurang berkemampuan mendapat sinar harapan untuk meneruskan kehidupan.

INNO4C adalah kompilasi katalog produk-produk penyelidikan, perkhidmatan mahupun program yang diperkenalkan penyelidik USM yang berupaya membantu golongan-golongan tertentu untuk melakukan perubahan dalam kehidupan harian mereka.

Timbalan Naib Canselor (TNC) Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato’ See Ching Mey berkata, Inno4C diperkenalkan dalam kaedah yang unik yang mana USM mempelawa libatsama industri untuk sama-sama menyumbang untuk komuniti.

Katanya, pihak industri boleh memberi sumbangan dana untuk membolehkan USM menghasilkan perkhidmatan, program mahupun produk rekacipta yang dapat membantu golongan yang perlu bantuan dengan kos penghasilan paling minimum.

 DSC8845ykg

Buat permulaan, 31 produk dan perkhidmatan dikompilasikan dalam INNO4C termasuk program pemulihan untuk para pesakit angin ahmar (Bal Ex Stroke), cara menggunakan Lesson Study, Audio-Visual Cognitive Aid untuk mengubah corak pemikiran individu bermasalah pembelajaran dan pelbagai lagi.

“Dengan adanya kerjasama seumpama ini, nasib golongan yang perlu bantuan akan lebih terbela dan mereka juga tidak terpinggir dari mendapatkan akses kepada produk, perkhidmatan dan program-program berkualiti rekacipta para akademia untuk kesejahteraan masyarakat,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual sempena program khas CEO Forum dan Pelancaran Inno4C yang dilakukan oleh wakil Naib Canselor merangkap TNC Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan di sini hari ini.

Muhamad dalam ucapannya pula berkata, inisiatif anjuran Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat itu adalah selari dengan hasrat universiti dalam melebarkan sayap kolaborasi melangkaui penyelidikan di makmal kepada akses komuniti secara lebih menyeluruh.

 DSC8877

“Kerjasama universiti-industri ini amat signifikan dan penting dalam memacu dan mentransformasikan peranan universiti supaya menjadi lebih relevan pada abad ke-21, sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Agenda libatsama komuniti dan industri ini akan menjadikan USM sebagai peneraju dalam memimpin inisiatif menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh komuniti dan industri, sekaligus memberi nilai tambah untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat,’’ katanya.

Dalam pada itu, tiga tokoh besar dalam sektor korporat turut bersama-sama warga USM berkongsi pengalaman melalui Forum CEO yang membincangkan topik khas bertajuk Role of Industry in Strengthening the University of the 21st Century.

Panelis terdiri dari Pengerusi merangkap Presiden Mini Circuit Malaysia, Dato’ Seri (Dr.) Kelvin Kiew, Konsul General Pakistan, Dato’ Abdul Rafique Abdul Karim, dan Pengerusi Eksekutif Masterpack Group, Dato’ Syed Mohammad Aidid Syed Murtaza.

Kesemua panelis antara lain menyumbang idea bagi meningkatkan keupayaan universiti dalam agenda pengukuhan libatsama bersama industri, selain berkongsi pengalaman berpuluh tahun terlibat dalam dunia korporat. - Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Zamani Abdul Rahim & Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 2143

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024