SASAR PROGRAM LIBATSAMA KEPADA GOLONGAN B40
PULAU PINANG, 27 Jun 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan merancakkan lagi program-program libatsama komuniti dan industri dengan memberi lebih tumpuan kepada penglibatan golongan isi rumah B40, iaitu masyarakat kurang berkemampuan dan berada pada purata pendapatan isi rumah 40 peratus terendah.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM komited menyumbang kepakaran dalam membantu merealisasikan hasrat negara untuk meningkatkan pendapatan golongan B40 kepada tahap lebih baik menjelang lima tahun akan datang melalui program-program libatsamanya.
Katanya, USM perlu mempamerkan kualiti dan kecemerlangan bukan hanya pada pembangunan akademik dan penyelidikan, namun perlu menjadi pakar rujuk dalam hal-hal membangunkan sosio-ekonomi masyarakat.
“Warga USM perlu menggunakan kaedah inovatif dalam memberi input, sekaligus memberi makna yang lebih besar terhadap program-program pemindahan ilmu dan teknologi supaya dapat menyumbang kepada merapatkan jurang masyarakat.
“Kita juga adalah sebahagian daripada masyarakat dan USM sentiasa menggunakan prinsip membangunkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk cuba membawa komuniti keluar dari kepompong kemiskinan dan mentransformasikan kehidupan mereka ke arah lebih mapan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap meraikan 348 penerima sijil kecemerlangan yang telah mengharumkan nama Universiti dalam program-program libatsama sempena Majlis Anugerah Sijil Libatsama Komuniti/Industri yang bertemakan Di Sini Lahirnya Sebuah Harapan di sini baru-baru ini.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato’ See Ching Mey dan TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein.
Mengulas penglibatan semua pihak menjayakan program libatsama, beliau berkata: “Dedikasi yang ditunjukkan semua pihak membawa bersama aspirasi USM dalam mentransformasikan masyarakat, selain memupuk perkongsian universiti-komuniti yang bermanfaat kepada kedua-dua entiti.
“Universiti bukan sekadar menara ilmu, sebaliknya berperanan lebih besar sebagai sebuah institusi penyebaran ilmu, penerokaan ilmu dan tumpuan para cendekiawan dalam mencurah keringat dan bakti untuk mendidik anak bangsa.’’
Dalam pada itu, penerima anugerah pada majlis tersebut terdiri dari pelbagai kategori termasuk pengiktirafan kepada individu cemerlang di peringkat staf akademik, pentadbiran, pelajar dan juga pihak luar, selain penghargaan khas yang diberi kepada pihak industri.
Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat juga buat julung kalinya memperkenalkan penghargaan khas kepada pusat tanggungjawab (PTJ) cemerlang yang mana ia mengiktiraf projek-projek berimpak PTJ yang telah membawa perubahan signifikan kepada komuniti sasaran. - Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa & Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 1488