USM KOMITED BANTU MANGSA BANJIR DI GUA MUSANG
KUALA SUNGAI, 27 Jun 2015 – Setelah lima hari sukarelawan Universiti Sains Malaysia (USM) berkampung dalam membantu memulih dan menambahbaik peralatan yang rosak akibat bencana banjir, kini asrama Sekolah Rendah Kuala Sungai diberi nafas baru yang memberikan keselesaan kepada guru dan pelajarnya.
Menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) merangkap Setiausaha program, Zulkifli Che Hussin, dalam fasa kelima ini USM menfokuskan kepada beberapa perkara antaranya mengecat asrama lelaki dan perempuan, menukar semua peralatan elektrik seperti kipas, lampu, segala punca elektrik dan bekerjasama dengan Hospital USM yang merangkumi aspek kempen kesihatan.
“Jumlah penglibatan sukarelawan dari Kampus Induk, Kejuruteraan dan Kesihatan adalah seramai 80 orang dan ini melebihi jangkauan kita memandangkan tarikh program ini terletak dalam minggu peperiksaan akhir,” katanya.
Program pasca banjir kali ini juga bukan sahaja tertumpu di asrama sekolah tetapi juga turut melibatkan masjid Kampung Kuala Sungai serta kawasan sekitarnya.
Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Perumahan Bangunan dan Perancangan selaku Ketua Program Pasca Banjir Fasa Lima, Profesor Dr. Abu Hassan Abu Bakar berkata, tujuan program sebegini diadakan adalah untuk mendekatkan USM dengan masyarakat terutamanya di kawasan pedalaman bagi menunjukkan sikap prihatin.
“Saya berharap program sebegini akan diteruskan dalam mendekati komuniti di pedalaman tidak kira di kawasan mana, bukan sahaja di Kelantan tetapi seluruh Malaysia,” katanya.
“Hasil kerja yang dijanjikan telah dilaksanakan dalam masa yang singkat dan sebanyak 90 peratus hasil kerja telah disiapkan dari hari pertama
program ini dilaksanakan di sini,” katanya lagi.Hadir sama menjayakan program ini ialah Timbalan Naib Canselor (HEPA) Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein.- Teks: Muhd Zulkifli Zakaria/Foto: Wan Ahmad Nizamuddin Wan Mohd Sukri
- Created on .
- Hits: 1049