SKUAD KESIHATAN HOSPITAL USM BANTU PENDUDUK KUALA SUNGAI
GUA MUSANG, 27 Jun 2015 – Berbekalkan semangat kental dan keazaman yang tinggi, seramai tujuh orang Skuad Kesihatan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) telah meredah hutan belantara melalui jalan berliku, berbukit dan berdebu sejauh 25 kilometer dari jalan utama Kuala Krai-Gua Musang menuju ke Kampung Kuala Sungai untuk turut serta dalam misi kesukarelawan USM pada kali ini.
Menurut Penolong Pegawai Perubatan Kanan, Jabatan Kecemasan, Hospital USM Zainuddin Brahim, tujuan skuad kesihatan ke sini ialah untuk membantu penduduk kampung dalam penjagaan kesihatan diri agar sentiasa berkeadaan baik.
“Kesihatan penduduk perlu dipantau secara berkala terutamanya penyakit bawaan air seperti penyakit kudis, kolera dan taun di samping kami turut mengadakan pemeriksaan tekanan darah tinggi dan kencing manis kepada penduduk tempatan,” katanya.
Skuad ini juga membuat kunjungan dari rumah ke rumah penduduk tempatan untuk memberi penerangan kesihatan dan bantuan ubat-ubatan terutamanya bagi mereka yang uzur dan tidak berdaya.
Antara penduduk kampung yang mendapat rawatan kesihatan tersebut ialah Shaari Senik, 73, yang sudah hampir sembilan tahun terlantar akibat penyakit asma. Keadaannya cukup menyedihkan serta uzur kerana badannya yang begitu kurus dan tidak bermaya.
Manakala seorang lagi penduduk kampung yang juga merupakan Iman Masjid Kampung Kuala Sungai, Hj Yaacob Mail, 77, yang menjalani pemeriksaan kesihatan menzahirkan rasa bersyukur kerana penduduk kampung ini mendapat perhatian dari pihak luar.
“Sangat terharu dengan bantuan yang dihulurkan dan tak silap saya ini merupakan kali kedua pihak USM datang ke kampung kami malah kali ini bilangannya lebih ramai lagi berbanding sebelum ini,” ujarnya.
Perasaan teruja dan gembira dengan kunjungan dan bantuan oleh pihak USM jelas terpancar di wajah Norsila Mat Ghani, 31, Zubaidah Mohd Rusli, 42 dan Mohamad Yusuf, 48 yang senada mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua yang membantu. - Teks: Abdul Azlz Latif/Foto: Wan Ahmad Nizamuddin
- Created on .
- Hits: 813