KERANGKA PENGURUSAN BENCANA PERLU DIWUJUD
KUBANG KERIAN, 14 Februari 2015 - Satu kerangka pengurusan bencana dan pengurangan risiko perlu dibentuk bagi memberi input komprehensif untuk mengenalpasti perkara-perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam aspek pengurusan sebelum, sewaktu dan selepas bencana.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, kerangka itu membolehkan kerajaan baik di peringkat pusat, negeri mahupun agensi terlibat mengambil tindakan yang pantas dan tepat dalam aspek pengurusan bencana.
Malah katanya, kerangka itu juga boleh dijadikan satu platform penting untuk para penyelidik di negara ini menjalankan kajian terhadap kaedah terbaik untuk menyelesaikan pelbagai implikasi akibat bencana alam yang tidak terduga.
“Secara umumnya Malaysia kini tidak lagi terkecuali dari mengalami bencana alam dan ini dapat dilihat dari beberapa petunjuk sejak beberapa tahun kebelakangan, bermula dengan tsunami pada 2004 dan terkini, banjir besar di negeri Kelantan tahun lalu,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Pengurusan Pasca Banjir Kelantan 2015 di sini hari ini.
Beliau terdahulu menyampaikan ucaptama bertajuk Penyelesaian, Kerangka Kerja dan Pembangunan Lestari dengan diikuti pembentangan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Dato' Dr. Mortaza Mohamed yang bertajuk Perkongsian Bencana Banjir UMK 2014.
Omar juga berkata, kerangka yang dicadangkan itu akan mengambil lima pendekatan utama termasuk pencegahan, kesediaan, tindakan, pemulihan dan tadbir urus yang membolehkan penyediaan satu resolusi yang boleh diguna pakai oleh pihak yang berwajib.
Dalam pada itu, seorang lagi pembentang ucaptama, Tuan Ogu Salim Omar dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) pula berkata, kerugian infrastruktur awam akibat banjir dianggarkan berjumlah RM2.9 billion dan jumlah itu lebih tinggi jika melibatkan kemusnahan harta benda peribadi.
Beliau juga turut menzahirkan rasa kagum dengan semangat kesukarelawanan yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak ketika banjir besar melanda negeri Kelantan baru-baru ini termasuk dengan kehadiran kira-kira 25,000 sukarelawan universiti.
“Saya amat bersetuju dengan cadangan Naib Canselor USM yang juga menyentuh mengenai keperluan mewujudkan sistem maklumat berintegrasi bagi membolehkan sistem pengurusan bencana menjadi lebih efektif tanpa adanya pembaziran dari aspek tenaga, masa mahu pun wang ringgit,'' katanya.
Persidangan tiga hari berkonsepkan Town Hall itu adalah anjuran bersama USM, UMK dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, bertujuan untuk mengetengahkan pengetahuan, pemahaman dan meningkatkan kesedaran pemulihan pasca banjir.
Paling utama, ia turut berperanan dalam mengetengahkan kolaborasi dan jaringan antara kerajaan persekutuan, negeri dan agensi berkaitan serta pusat-pusat penyelidikan bagi pemulihan pasca banjir yang lestari.
Lebih 400 peserta dari universiti-universiti tempatan, kementerian, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya hadir bagi membentangkan kertas kerja dan berdiskusi bagi mencari penyelesaian yang lestari.
Pada akhir persidangan juga, satu resolusi yang holistik akan disediakan dan dicadangkan kepada pihak yang berwajib untuk diteliti dan dilaksanakan bagi pengurusan bencana yang mapan untuk masa hadapan. - Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 2251