ICT PERPUSTAKAAN PERLU DIPERTINGKAT SEIRING PERKEMBANGAN SEMASA
PULAU PINANG, 10 Februari 2015 - Kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di perpustakaan perlu dipertingkat agar seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal berkata, hal ini penting untuk membolehkan perpustakaan di universiti-universiti rantau ASEAN termasuk perpustakaan USM untuk kekal relevan dalam peranan dan sumbangannya kepada warga universiti terutamanya staf akademik, penyelidik dan mahasiswa.
“Dengan itu, perpustakaan di sesebuah universiti perlu memanfaatkan penggunaan ICT dengan sebaiknya dalam menyokong aktiviti-aktiviti pengajaran-pembelajaran dan penyelidikan yang dijalankan bukan sahaja di universitinya tetapi juga yang dijalankan bersama perpustakaan di universiti lain,” kata Ahmad Shukri dalam ucapannya di Majlis Pembukaan dan Perasmian Bengkel “Asean University Network Inter-Library Online(AUNILO) Capability Building Training 2015 “ di sini semalam.
Beliau turut mengambil contoh Australia di mana ahli akademik mempraktikkan pembelajaran secara dalam talian (online learning) untuk kemudahan para pelajar mendapatkan maklumat, dan perpustakaan di sana telah menyediakan prasarana teknologi yang begitu kondusif untuk menyokong usaha tersebut.
Tambah beliau, dengan adanya kemudahan teknologi terkini seperti telefon pintar, tablet dan media sosial, sememangnya mempengaruhi perkhidmatan perpustakaan, kita berhadapan pelbagai cabaran dan pada masa yang sama perlu menghadapi perkembangan teknologi yang pantas pada masa hadapan.
“Justeru, para pustakawan perlu sentiasa mempertingkatkan ilmu, kemahiran, literasi digital dan tahap kompetensi mereka supaya dapat terus memberi sumbangan terbaik kepada universiti di samping bekerja bersama-sama dengan pelbagai pihak universiti dalam memacu kecemerlangan,” ujar beliau.
Program latihan yang berlangsung selama tiga hari itu dari 9 – 11 Februari, berjaya mengumpulkan seramai 32 wakil delegasi terdiri daripada pustakawan dan pakar teknologi maklumat dari tujuh buah negara ASEAN iaitu Kemboja, Laos, Filipina, Singapura, Vietnam, Thailand dan Malaysia.
Latihan kepada peserta dikendalikan oleh Penolong Profesor III dan Dekan Pusat Pengajian Perpustakaan dan Pengajian Informasi, University of the Philippines, Profesor Kathleen Lourdes B. Obille; Pengarah Pusat Kecemerlangan Akademik & Penasihatan dan Pembangunan Pelajar (CDAE) USM, Profesor Dr. Abdul Karim Alias; dan Timbalan Ketua Pustakawan Perpustakaan Universiti Malaya Mahbob Yusof.
Dalam pada itu, Ketua Pustakawan Perpustakaan Hamzah Sendut USM merangkap Pengerusi AUNILO, Mohd. Pisol Ghadzali berkata, beliau bersyukur kerana Perpustakaan USM telah diberi kepercayaan dan dipilih menjadi Sekretariat AUNILO untuk tiga penggal berturut-turut sejak tahun 2004.
Beliau juga berharap program latihan ini akan menjadi platform bagi peserta-peserta berkongsi buah fikiran dan pengalaman khususnya dari aspek penggunaan ICT dalam perpustakaan di samping membina jaringan dan memperkukuh hubungan sesama perpustakaan yang menjadi ahli AUNILO.
Hadir sama ialah Dekan Pusat Pengajian Seni USM Profesor Madya Mohamad Omar Bidin, wakil delegasi negara ahli AUNILO, staf Perpustakaan USM dan pegawai-pegawai utama USM.
AUNILO yang ditubuhkan pada tahun 2004 dengan hanya 12 buah perpustakaan kini mempunyai keahlian 29 buah perpustakaan dari 10 buah negara ASEAN. - Teks: Siti Naquiah binti Abdillah/Penyunting: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 3149