BEKERJA BERSAMA-SAMA MEMACU KECEMERLANGAN
PULAU PINANG, 6 Februari 2015 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman hari ini menyeru agar semua pihak bekerja bersama-sama dalam memacu kecemerlangan universiti di negara ini.
Berucap dalam Majlis Makan Malam bersempena Mesyuarat Majlis Dekan Pengajian Siswazah (MDPS) IPTA kali ke-39 di sini, Omar menegaskan bahawa kecemerlangan universiti termasuk Institut Pengajian Siswazah (IPS) adalah berdasarkan kepada kualiti dan bukan sekadar kuantiti.
"Kejayaan kita tentunya sebahagian besar dinilai dari segi kualitinya termasuk dalam penghasilan penerbitan dan penulisan untuk jurnal terkemuka dunia, oleh itu kita perlu sentiasa memacu kecemerlangan bersama-sama supaya program-program pasca siswazah yang ditawarkan mampu melonjakkan negara ke peringkat yang lebih tinggi,” tambah Naib Canselor.
Omar berharap mesyuarat Majlis Dekan Pengajian Siswazah IPTA menjadi teras utama dalam memastikan Malaysia menjadi hub pendidikan terkemuka dalam menyediakan peluang pengajian tinggi yang berkualiti kepada pelajar tempatan dan antarabangsa.
Pada masa yang sama, Majlis Dekan Pengajian Siswazah IPTA (MDPS) telah menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Roadmap For Malaysian Education In The Next Decade bagimenjalankan kajian senario semasa dan hala tuju pengajian tinggi di Malaysia dengan mengambil kira Malaysian Education Blueprint, 2015 - 2025 (Higher Education) yang diharapkan dapat melonjakkan negara Malaysia dalam menyediakan landskap pengajian tinggi yang berkualiti kepada masyarakat global.
Hadir sama di Majlis Makan Malam tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Dekan Institut Pengajian Siswazah USM Profesor Dr. Othman Sulaiman, Dekan Institut Pengajian Siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Madya Dr. Siti Halijah Shariff serta pegawai, dekan-dekan IPS serta pegawai-pegawai kanan universiti yang lain.
USM menjadi tuan rumah untuk MDPS IPTA ke-39 yang diadakan di sini dengan dipengerusikan oleh Dekan Institut Pengajian Siswazah Universiti Teknologi Mara. - Teks: Siti Naquiah binti Abdillah/Penyunting: Mohamad bin Abdullah
- Created on .
- Hits: 1862