BEKERJA BERSAMA-SAMA UNTUK BINA KEKUATAN
PULAU PINANG, 3 Jan. 2014 – Warga Universiti Sains Malaysia (USM) diminta untuk bekerja bersama-sama membina kekuatan yang ada dan jika ada yang enggan berbuat demikian, jangan pula mengganggu orang lain yang komited ingin bekerja.
Demikian kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika menyampaikan amanat kepada warga Pusat Kawalan Doping (PKD) dan Pusat Perkhidmatan Analitikal Toksikologi Termaju (CAATS) di sini hari ini.
``Kita perlu berusaha untuk memberi yang terbaik, bekerja keras dan membanggakan universiti, apatah lagi bagi PKD dan CAATS pada asalnya adalah satu entiti yang sama.
``PKD dan CAATS adalah pusat perkhidmatan yang mampu menyumbang kepada pelaburan besar dalam bidang penyelidikan, selain dilihat mempunyai kepakaran yang pelbagai dan mungkin juga yang terbesar di rantau ini,’’ katanya.
Omar berkata demikian selepas turut serta dalam majlis bacaan surah Yaasin bulanan sempena menyambut tahun barudan sesi tazkirah yang turut disertai oleh kira-kira 40 kakitangan PKD dan CAATS.
Tambahnya, CAATS juga telah diiktiraf sebagai memenuhi NATA ISO 17025 dan menunjukkan pencapaian menggalakkan dari segi penjanaan pendapatan berjumlah lebih RM1.58 juta.
``USM mengharapkan lebih banyak pencapaian mampu diraih oleh kedua-dua pusat ini, sekaligus membanggakan nama universiti di persada dunia.
``Kita jangan mudah berputus asa dan teruskan usaha dengan kekuatan yang ada. USM terkenal dengan pencapaiannya hasil dari kerjasama sebagai satu pasukan yang sangat utuh,’’ ujar beliau.
Naib Canselor juga meminta agar warga USM dapat mencontohi sesetengah PTJ yang tidak pun mempunyai staf tetap, tetapi berupaya menguruskan dana luar yang besar dengan kekuatan sumber manusia yang sangat minimum. Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1367