KECINTAAN BIDANG KEJURULATIHAN TETAP UTUH
PULAU PINANG, 3 Jan. 2014 - Kecintaan mendalam terhadap bidang kejurulatihan khususnya kepada kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Sains Malaysia (USM) tetap utuh walaupun bakal berkhidmat di jawatan yang lain.
Ketua Jurulatih Palapes USM, Mejar Mustaffa Ibrahim berkata, kadet Palapes diibaratkan seperti anak-anaknya sendiri, dan beliau memberikan hanya yang terbaik dalam melatih mereka dengan latihan-latihan yang sepatutnya.
Katanya, sebelum memulakan tugas sebagai jurulatih, beliau telah menanamkan azam untuk membentuk kadet yang bukan sekadar berdisiplin, tetapi mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi dan berkorban untuk negara.
``Melatih kadet di institusi pengajian tinggi mempunyai pendekatan yang berbeza dengan melatih askar biasa. Mereka mempunyai minda yang kuat dan mampu menjiwai semangat nasionalisme dengan baik.
``Saya juga terharu dengan penerimaan warga Universiti khususnya para kadet, kemungkinan besar ia kesan dari pendekatan saya yang menghormati dan menghargai mereka melalui cara saya,’’ katanya sambil memberitahu beliau senang bergaul dengan semua pihak.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis tamat tugas sebagai Ketua Jurulatih Palapes USM di sini hari ini. Naib Canselor merangkap Komanden Kehormat Palapes, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hadir bersama pasangan bagi memberi penghargaan kepada beliau.
Mustaffa yang mula ditauliahkan dalam perkhidmatan tentera pada 22 Mei 1982 memulakan tugasnya di USM pada tahun 2009. Beliu kini telah ditukarkan ke Markas Stesen Staf Sungai Petani sebagai Pegawai Stesen Staf.
Omar pula dalam ucapannya berkata, bekas ketua jurulatih itu disifatkan sebagai sangat memberi kerjasama dan komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang dipikul.
``USM berharap legasi kepimpinan yang berdisiplin namun dalam masa yang sama turut mengaplikasikan aspek kekeluargaan dapat diteruskan oleh kepimpinan pada masa depan.
``Palapes USM mempunyai keupayaan untuk terus bergerak ke arah kecemerlangan dan dalam masa yang sama kita berharap ia terus mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak untuk terus maju dan berdaya saing,’’ katanya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1354