USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMERKASAAN TENAGA AKADEMIK DAN PELAJAR ANTARA FOKUS UTAMA USM

080114-2

 

PULAU PINANG, 8 Jan. 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) dalam kerangka pembangunan jangka panjang akan melaksanakan program-program yang berfokuskan kepada meningkatkan kecemerlangan pensyarah dan kebolehpasaran graduan di peringkat antarabangsa.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM berhasrat untuk memacu universiti dengan memperlihatkan seramai mungkin pensyarahnya mempunyai geran-geran penyelidikan bertaraf dunia.

Katanya, usaha itu kini diterjemah melalui pelbagai usaha, salah satunya pendekatan penawaran geran penyelidikan kepada para pensyarah yang selesai menjalankan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) bagi membolehkan mereka terus menjalankan kajian di fasa awal.

``Ada juga di antara pensyarah yang sebelum ini merasakan agak sukar untuk menerima geran dan menjalankan kajian, kita akan memberi bimbingan supaya golongan ini dapat mengemukakan cadangan rangka kerja penyelidikan yang ingin dijalankan.

080114-3

``Kita turut akan mengimplementasi rangka kerja bagi meningkatkan pencapaian penyelidikan universiti melalui pelbagai modaliti termasuk menggerakkan strategi baru, meningkatkan pembudayaan penyelidikan, kolaborasi strategik dan pelaburan untuk penghasilan penyelidikan global,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan Perutusan Tahunan Naib Canselor (PTNC), Bersama Untuk Kecemerlangan Universiti (BUKU) 2014 yang bertemakan Keterangkuman, Kelestarian dan Kecemerlangan (ISE) di sini hari ini.

Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Abdul Rahman Abbas turut hadir pada majlis pembuka tirai 2014 tersebut. Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan pegawai-pegawai utama Universiti.

Omar turut menegaskan, USM dalam masa yang sama turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan bakat pelajar dan meningkatkan kebolehpasaran graduan di persada antarabangsa.

080114-1

Katanya, usaha ini akan melibatkan input dari pihak industri yang mana USM akan mengadakan perbincangan secara lebih intensif dengan rakan industri mengenai cara terbaik dalam melaksanakan matlamat tersebut.

``Kita tidak boleh hanya bergantung kepada pihak kerajaan semata-mata dalam isu pemerkasaan graduan ini, sebaliknya perlu lebih dinamik untuk mengupaya bakat masa hadapan dengan set minda global,’’ ujarnya.

Tambah beliau, USM juga telah mengenalpasti bidang akademik menjadi teras kekuatan pelajar namun ia akan ditambahbaik dengan meningkatkan keupayaan pelajar melalui tiga aspek lain termasuk kepimpinan, kemahiran komunikasi dan perhubungan antarabangsa dan industri.

Omar turut menjelaskan, hala tuju USM turut memperlihatkan usaha membawa Universiti ini dalam konteks universiti yang memimpin kelestarian yang tersendiri yang juga akan membina satu penarafan yang dipanggil global sustainability assessment led for universities.

080114-4

``Perkara ini sedang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Kelestarian Global USM dengan hasrat untuk membawa rakan-rakan dalam jaringan kerjasama USM untuk memahami apa yang kita maksudkan dengan the sustainability assessment on university,’’ ujarnya.

Tambah beliau, USM juga akan memperhebatkan program perkongsian dengan universiti-universiti lain dan perkara itu telah pun bermula apabila USM telah diberi mandat oleh Kementerian Pendidikan Malalaysia sebagai sekretariat pemindahan ilmu untuk seluruh Malaysia.

``Buat masa ini kita telah pun mengenalpasti 320 projek di seluruh negara yang melibatkan pihak industri dan komuniti yang sedang menjalankan projek pemindahan teknologi dan pengetahuan kepada industri sederhana kecil dan beberapa cabang institusi,’’ katanya.

080114-5

Mengulas tema yang dipilih pada tahun ini, Omar berkata:``Keterangkuman bermakna kita melibatkan seluas mungkin warga dalam semua urusan melalui aktiviti sukarelawan, akademik, penyelidikan, libatsama dan sebagainya untuk faedah semua.

``Kelestarian pula adalah satu asas yang telah menjadi satu tonggak kekuatan USM dan akan diteruskan kelangsungannya dalam semua aktiviti, tindakan dan kehidupan kampus agar sentiasa berpegang kepada asas atau fundementalnya.

``Manakala kecemerlangan pula akan terus menjadi pegangan utama Universiti ini sebagai asas utama dalam setiap usahanya. Ketiga-tiga asas ini amat penting dalam mencorak USM pada masa hadapan yang sentiasa relevan dan cemerlang.

IMG 0071

Tambahnya, tema ISE turut bertujuan memperkukuhkan dan melengkapkan pelan keseluruhan Universiti untuk memastikan seluruh warga USM, staf dan pelajar-pelajar meneruskan agenda utama universiti kelestarian untuk hari esok bermula dengan hari ini.

Dalam pada itu, PTNC turut menjurus kepada usaha melipatgandakan pencapaian ahli akademik dan penyelidik, menghakupayakan dan memperkasakan pusat-pusat pengajian, pusat penyelidikan, pusat kepakaran dan sumber-sumber, mentransformasi minda pentadbir dan staf menjadi lebih produktif dan sebagainya.

IMG 0374

 

IMG 0074

Turut dimuatkan dalam acara pembuka tahun baru 2014 itu adalah majlis penyampaian Sijil Geran Penyelidikan, penyampaian Sijil Penghargaan kepada Top Research Scientist Malaysia (TRSM) dan Felo ASM,  Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Pemenang Pingat Emas Sukan SEA (Acara Individu dan Berpasukan Karate) dan pelancaran buku-buku terbitan USM dan Dewan Bahasa dan Pustaka oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1795

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024