USM SEDIA KONGSI KEPAKARAN DENGAN UMT
PULAU PINANG, 17 Jan. 2014 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini menyatakan kesanggupan dalam berkongsi kepakaran dalam pelbagai cabang ilmu demi memastikan manfaatnya dapat diperoleh pelbagai pihak.
Bercakap semasa menerima kunjungan hormat Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo di Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Omar juga menyifatkan kerjasama yang terjalin antara USM-UMT juga dapat mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua pihak.
‘Buat masa ini, USM terlibat dalam banyak bidang penyelidikan, dan amat berbesar hati jika UMT juga memerlukan kepakaran dan nasihat kita dalam sesuatu perkara,’ kata Omar.
Bagi Ibrahim pula, sebagai salah satu universiti yang ‘masih muda’, kesediaan USM ‘membuka pintu’ dan berkongsi pengalaman serta penerapan idea baru amat dialu-alukan.
‘UMT amat berminat mendapatkan kepakaran USM terutama dalam bidang Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Sains Kajihayat dan Sains Sosial,’ katanya.
Tambahnya lagi, UMT bercadang menubuhkan satu pusat penyelidikan baru yang dikenali sebagai ‘Marine Archeology’ dan pihaknya amat berharap dapat bekerjasama dengan PPAG kelak.
Dalam majlis yang sama, kedua-dua Naib Canselor turut diberikan taklimat oleh Pengarah PPAG, Profesor Mohd Mokhtar Saidin dan profesor kunjungan, Profesor Hamzah Mohamad tentang beberapa kejayaan yang dicapai PPAG serta penubuhan makmal-makmal baru yang diharap dapat melonjakkan lagi nama PPAG dan USM di peta dunia. Teks : Mohamad Danial Shahri/Foto : Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1127