AUSMJ LAKSANA INISIATIF MENYUMBANG KEPADA KOMUNITI
JOHOR BAHRU, 18 Jan.2014 – Alumni Universiti Sains Malaysia Johor (AUSMJ) merealisasikan usaha untuk kembali menyumbang kepada komuniti dengan membantu pihak Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pulai, Skudai menceriakan dan memberi motivasi kepada para pelajarnya di sini semalam.
Menteri Besar Johor, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif seumpama itu adalah salah satu usaha yang perlu dibudayakan dalam kalangan alumni mana-mana institusi bagi membantu dalam pembangunan alma mater mereka.
Katanya, beberapa universiti terkemuka dunia seperti Harvard berdiri teguh kerana salah satu faktor yang menyumbang kepada kekuatannya adalah sumbangan alumni mereka dalam pelbagai bentuk.
``Kita juga perlu membudayakan langkah yang sama iaitu untuk alumni sentiasa membantu dalam memberi perkhidmatan untuk membangunkan negara dan dalam konteks program pada hari khusus untuk manfaat komuniti di Johor,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Hi-Tea Alumni USM Bersama Menteri Besar Johor yang menjadi kemuncak program khidmat komuniti anjuran bersama USM, Ikatan Mahasiswa Johor (IKMAR), AUSMJ dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Turut hadir pada program itu ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Naib Canselor UTM, Profesor Ir. Dr. Wahid Omar, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ See Ching Mey, Presiden AUSMJ, Khairull Azmi Ishak, pegawai-pegawai utama USM dan UTM serta lebih 70 orang alumni dan 50 ahli IKMAR.
Tambah beliau, pendekatan alumni USM menjalin kerjasama dengan UTM dalam menganjurkan program yang diatur juga adalah salah satu pelaksanaan yang wajar dicontohi semua pihak demi untuk manfaat komuniti yang lebih besar.
``Apabila kita bersatu maka kekuatan yang ada akan jadi lebih utuh dan ia secara tidak langsung turut memberi ruang untuk kita berinteraksi di antara satu sama lain dalam usaha mengukuhkan pencapaian dan mentransformasikan dunia pengajian tinggi,’’ katanya.
Dalam pada itu Omar pula berkata, langkah yang dijalankan AUSMJ itu disifatkan sebagai menyokong strategi lautan biru khususnya dalam menjalin kolaborasi bersama pihak lain dan menjayakan program dengan kos yang minimum namun menghasilkan output yang memberangsangkan.
``Kita telah berjaya menjalankan satu usaha yang di luar dari ruang biasa yang pada akhirnya akan dapat mengukuhkan kesatuan dengan dua atau lebih universiti. Hal ini nyata dapat memberi kekuatan yang lebih untuk kita jayakan projek-projek yang telah dijalankan.
``Sebagai contoh, hari ini (semalam) kita telah dapat melihat bagaimana dengan kerjasama erat yang ada kita dapat membantu pihak sekolah menceriakan persekitaran sekolah mereka dengan cantik dan dalam masa yang sama seramai 200 orang pelajar di situ mendapat suntikan semangat untuk cemerlang,’’ ujarnya.
Tambah beliau, alumni USM kini telah mencecah bilangan 130,000 dan USM juga akan terus melebarkan jaringan luas yang dapat menyokong graduan-graduan dari dalam dan luar negara untuk terus menyokong Universiti melalui pelbagai mekanisme termasuk kepakaran, idea dan sebagainya. Teks/Foto: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1341