SWASTA DISARAN BANTU UNIVERSITI
PULAU PINANG, 20 Januari 2014 - Pihak swasta disaran untuk lebih banyak membantu dalam pembangunan universiti awam terutamanya dalam merealisasikan hasrat pengkomersilan produk penyelidikan dan inovasi.
Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan a/l P Panchanathan berkata demikian dalam sidang media yang diadakan sempena lawatan rasmi sehari ke Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.
“Dengan adanya bantuan pihak swasta, universiti tempatan akan berupaya untuk menghasilkan produk penyelidikan dan inovasi yang dapat dikomersilkan untuk faedah negara malah dunia di samping pada masa yang sama, berupaya meletakkan nama universiti dalam kalangan yang terbaik di dunia,” kata Kamalanathan.
Timbalan Menteri Pendidikan II itu berpuas hati dengan pencapaian USM berdasarkan laporan terperinci yang diberikan dan bersedia untuk membantu dalam melaksanakan semua program yang disenaraikan dalam Program APEX Fasa II 2014 - 2025.
USM menjadi satu-satunya universiti tempatan yang telah dipilih oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada September 2008 untuk melaksanakan program pemacuan untuk kecemerlangan (APEX) yang berteraskan kepada mentransformasi pengajian tinggi untuk kelestarian hari esok.
“Saya percaya dengan bantuan pihak swasta lebih banyak usaha dapat dilakukan bersama-sama apatah dengan bertambah banyakkan produk penyelidikan dan hasil inovasi USM yang berjaya dipatenkan selama ini,” tambahnya lagi.
Antara tahun 2008 hingga 2013, USM telah menghasilkan 247 produk penyelidikan yang dapat dipatenkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk empat untuk reka bentuk industri dengan pendapatan keseluruhan menjangkau lebih RM228 juta.
“Saya juga percaya hasil penyelidikan seperti Vaksin Halal yang dijalankan dengan Finlay Institute Cuba untuk menangani penyakit “meningococcal” dapat memenuhi keperluan umat Islam sedunia selaras dengan hasrat negara menjadi hub halal sedunia sekaligus dapat memberikan impak dari segi kedudukan USM dan Malaysia di mata dunia jika dapat dikomersilkan dengan sewajarnya melalui bantuan pelbagai pihak termasuk swasta,” tambahnya lagi.
Selain dari projek penyelidikan Vaksin Halal, USM juga sedang memperkukuhkan penyelidikan dalam bidang Nano-Optoelektronik khususnya “nanosciences”, “Nanomaterials”, “nanofabrication” dan “nanoengineering” yang dapat dimanfaatkan dalam industri hari ini dan masa hadapan. Teknologi nano merupakan revolusi industri yang akan datang dalam pembangunan ekonomi dunia dan kehidupan seharian umat manusia.
“Saya juga tertarik dengan usaha USM untuk membangunkan program-program yang merentasi apa juga sempadan yang ada dalam membentuk siswazah yang mempunyai pemikiran yang terbuka dan bertaraf dunia seperti “Student with Global Mindset”, “APEX Global Programme” dan “Institute of Open Learning” yang akan membuka lebih banyak ruang untuk USM memberi peluang kepada mahasiswa menerokai bakat mereka di samping meningkatkan lagi usaha dalam mobiliti pelajar ke seluruh dunia,” tambahnya lagi.
Menyifatkan pelan perancangan akan datang USM itu sebagai satu inisiatif yang berani dan penting untuk melonjakkan kedudukan universiti dalam ranking dunia, Timbalan Menteri Pendidikan II itu berharap ia akan dapat dicapai melalui bantuan semua pihak.
“Pendidikan dan pengajian tinggi adalah merentasi segala yang ada yang tidak seharusnya menjadi isu, yang jika pun ditimbulkan oleh mana-mana pihak ia adalah dari perspektif mereka sendiri,” tegas beliau.
Pada sidang media yang sama, beliau juga memaklumkan untuk calon-calon yang berminat memohon masuk ke USM segera berbuat demikian memandangkan pengambilan dilakukan sendiri oleh universiti yang telah mula dihebahkan untuk calon-calon berbuat demikian.
“Saya mendapat maklum balas yang sangat baik dari ibu bapa tahun lalu dengan ketelusan pihak universiti memilih calon kemasukannya, apatah lagi jumlah lebih 20,000 yang diterimanya,” kata beliau lagi.
USM telah membuka permohonan untuk calon-calon yang berkelayakan untuk memohon mengikuti satu daripada 71 program pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa dengan mengemukakan permohonan secara atas talian (online application) untuk sidang akademik 2014/2015.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan II tersebut telah diberikan taklimat oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan Timbalan-timbalan Naib Canselor serta pengurusan tertinggi universiti. Beliau juga dibawa melawat beberapa buah pusat penyelidikan USM untuk melihat dari dekat usaha yang dilakukan dan persediaan USM melaksanakan APEX Fasa II 2014-2025. Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1243