USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TOKOH AKADEMIK WANITA USM DIIKTIRAF

untitled 8

PULAU PINANG, 23 Jan. 2014 – Pensyarah dan penyelidik wanita berpengalaman Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Darah Ibrahim dinobat sebagai penerima anugerah khas Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang 1435 H/2014 M dalam satu majlis khas di sini baru-baru ini.

Beliau diiktiraf dan terpilih mendahului pencalonan lain melalui kategori Anugerah Khas Maulidur Rasul: Qudwatur Rasul (Inovasi) 1435 H berdasarkan kepada kecemerlangannya dalam lapangan penyelidikan dan inovasi sejak memulakan karier di sekitar tahun 1990-an.

Darah berkata, pengiktirafan tersebut memberikannya satu suntikan semangat untuk terus mengerah keringat dan membantu menyumbang dalam pembangunan negara khususnya untuk pemerkasaan bidang penyelidikan.

Katanya, beliau sememangnya komited untuk terus mengenengahkan dan menyebarkan  ilmu yang ada padanya untuk mendidik anak bangsa agar menjadi umat Islam yang berwawasan, moden dan maju melalui inovasi serta penyelidikan.

``Saya sentiasa peka pada perkembangan semasa dan sehingga kini telah berjaya membangunkan sistem dan prototaip yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat kampung dan desa untuk meningkatkan ekonomi dan pendapatan mereka.

``Semua ini dibuat dengan matlamat dan harapan supaya dapat membebaskan mereka yang kurang berkemampuan ini dari belenggu kemiskinan. Dalam konteks negara ini, apabila masyarakatnya maju dengan ekonomi yang stabil maka secara tidak langsung, pendapatan negara juga akan meningkat,’’ ujar beliau.

Menyusuri kecekalan dan kecemerlangan tokoh ini, beliau terdahulu memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian Kelas Dua Bahagian Atas daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1979, Sarjana Sains (Sains Perubatan) daripada University of Glasgow, Scotland pada tahun 1982 dan Ijazah PhD (Mikrobiologi/Bioteknologi) daripada Universiti Sains Malaysia pada tahun 1997.

Ibu kepada tiga cahayamata ini  juga adalah seorang yang amat aktif dan produktif dalam penyelidikan dan telah berkecimpung dalam bidang ini lebih daripada 30 tahun, dan pernah menjalankan penyelidikan bersama dengan beberapa orang professor yang disegani dan ternama dunia.

Darah telah menjalankan penyelidikan dalam pelbagai bidang mikrobiologi termasuk Mikrobiologi dan Mikologi Perubatan, dalam bidang fermentasi dan teknologi enzim, dalam bidang bioteknologi persekitaran, bidang bioteknologi pertanian dan juga dalam bidang bioteknologi marin.

Selain beliau, Profesor Madya Dr. Fadhlullah Jamil, seorang pensyarah sambilan di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh juga dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul 1435H bagi Negeri Pulau Pinang.

Majlis penyampaian Tokoh dan Anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Abdul Rahman Abbas di Dewan Seri Pinang. Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1860

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024