USM BANTU PENAGIH DADAH TEGAR
PULAU PINANG, 24 Januari 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan (PPDU) komited membantu golongan penagih tegar melalui ‘Program Kaunseling Penagihan dari Hati ke Hati’ yang mula dijalankan di Kampung Melayu, Ayer Hitam, Pulau Pinang.
Khidmat masyarakat ini adalah hasil kerjasama di antara USM dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung tersebut.
Tujuan program ini adalah untuk mewujudkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah terutama Opiat dan Amphetamine-Type-Stimulants (ATS) yang memberi kesan yang tinggi kepada pengguna dan juga orang sekeliling.
Menurut pensyarah PPDU selaku ketua projek, Profesor Madya Dr. B. Vicknasingam, program ini telah dijalankan selama sebulan dan mendapat kerjasama yang baik dari dalam kalangan penagih dadah yang ingin berubah.
“Mereka datang bukan sahaja dari Kampung Melayu tetapi juga dari kawasan sekitar lain termasuk dari Taman Tun Sardon dan Jelutong untuk mendapatkan nasihat dan kaunseling bagi membantu mereka berubah dan menjauhkan diri daripada dadah,” tambah Dr. Vicknasingam.
Sesi kaunseling ini dibuka pada setiap Jumaat minggu pertama dan ketiga bermula jam 9 pagi hingga 11 pagi. Selain penagih, keluarga penagih juga boleh bersama-sama mengikuti kaunseling ini bagi membantu orang-orang yang mereka sayang kembali ke pangkal jalan.
“Program ini dijalankan supaya kami, para penyelidik lebih memahami dan memantau aktiviti para penagih di samping ianya dapat membantu meningkatkan kesedaran secara lebih positif,” kata penyelaras program ini, Dr. Darshan Singh.
Katanya, kesemua yang hadir sangat mengharapkan agar para penyelidik USM dan juga AADK dapat memberikan sinar baharu kepada mereka untuk mengharungi kehidupan yang lebih positif.
Program ‘outreach’ tersebut sebagai wadah membudayakan cara hidup sihat dan bebas dari najis dadah dalam kalangan masyarakat dijalankan selama setahun dijangka berakhir Disember ini. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1512