USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BANGGA DENGAN BUDAYA KUALITI USM

 

260114-1

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Januari 2014 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman meminta seluruh warga USM menjadikan kualiti sebagai satu budaya hidup dan menjiwainya dengan sepenuh hati untuk kepentingan diri dan universiti sejajar dengan hasrat merealisasikan 1USM dan Kami Sayang USM.

Ia bukan sekadar satu dokumentasi tetapi perlu dizahirkan dengan perbuatan dan hati nurani seseorang itu.

Berucap ketika merasmikan Majlis Konvensyen Kualiti Kampus Kesihatan USM 2013 dan Program Kampus Bersih Sejahtera yang diadakan serentak dengan Majlis Perutusan Naib Canselor USM 2014 kepada warga kampus di sini, beliau menegaskan bahawa gerakan kualiti yang dibangunkan akan membantu dalam memperkasakan setiap apa yang kita lakukan kini.

“Tengok sajalah kini aura kualiti semakin berkembang ke semua kampus USM serta semakin sebati dengan warganya yang perlu dipupuk berterusan untuk memantapkan lagi gerakan ini ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Omar juga memuji usaha Kampus Kesihatan untuk bangun daripada masalah persepsi yang ditimbulkan melalui laporan media tentang kehadiran dan bahaya tikus di Hospital USM tahun lalu dengan mengadakan Program Kampus Bersih Sejahtera.

“Kita menerima teguran dengan terbuka dan percaya program ini dapat menyumbangkan kepada usaha mengatasi masalah yang ada dan amat baik kerana bertunjang kepada aspek kebersihan dan kesejahteraan yang lebih meluas maksudnya meliputi kesejahteraan emosi, intelektual, sosial, persekitaran fizikal dan spiritual dengan mengutamakan penglibatan semua pihak secara sukarela seperti mana yang dilakukan melalui program Kampus Sejahtera di kampus induk yang sebahagian besarnya dilakukan oleh para pelajar,” tambah Naib Canselor.

Konvensyen Kualiti kali ini menyaksikan pertambahan pecahan kategori kualiti yang dipertandingkan. Antaranya ialah seperti Pejabat, Laman Web, Premis Makanan, Wad, Makmal dan beberapa lagi termasuk juga untuk kategori Pertandingan Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S iaitu Stor Terbaik (Umum/Khusus) dan Sudut Terbaik.

260114-2

Naib Canselor turut menyampaikan penghargaan kepada Kumpulan Inovatif & Kreatif dan Kumpulan Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S Kampus Kesihatan USM yang mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan dan luar negara.

Turut dinobatkan ialah Anugerah Tokoh Kualiti 2013 yang disandang oleh Pustakawan Kanan Puan Rogayah Ali hasil daripada kesungguhan beliau dalam memimpin dan membangunkan gerakan kualiti di Kampus Kesihatan USM.

Kampus Kesihatan USM juga dianugerahkan Pensijilan Semula MS ISO oleh pihak SIRIM QAS International, Intertek Moody International dan Malaysia Productivity Corporation (MPC) serta penyampaian Akreditasi oleh pihak STANDARD Malaysia dan Pelancaran USM Ke Arah “Lean Management”.

Hadir sama ialah Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed, Ketua Pengarah Malaysia Productivity Corporation (MPC), Dato’ Mohd Razali Hussain, Ketua Pengarah STANDARD Malaysia, Puan Fadilah Baharin, Pengarah Urusan SIRIM QAS International, Puan Khalidah Mustafa, Pengurus Besar Intertek Moody International, Dr. Ooi Cheng Lee serta pegawai-pegawai utama USM yang lain.

Terdahulu menyampaikan ucapannya, Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Madya Dr. Adam Hussein selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur berkata, program tahunan ini adalah untuk menanamkan semangat kualiti dalam perkhidmatan dan kerjaya seseorang staf itu agar ianya akan terus berkembang dan tidak ketandusan idea.

260114-5

Turut diadakan ialah Pameran Kecemerlangan Kualiti dan Inovasi Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang turut dibuka semasa majlis tersebut berlangsung.

Sementara itu, Program Kampus Bersih Sejahtera yang diketuai oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Jaringan) Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Dinsuhaimi Sidek turut mendapat perhatian utama.

Program ini melibatkan semua pihak, daripada kanak-kanak, para pelajar, mahasiswa staf akademik dan staf pentadbiran malah seluruh warga USM.

Menurut Dinsuhaimi, pelaksanaan program ini bukan sahaja berkisar di dalam sekitar kampus sahaja tetapi juga melibatkan warga sekitar kampus yang berhampiran melalui Program Libatsama Komuniti USM.

“Kami ingin melakukan usaha yang lebih menyeluruh, holistik, sejahtera dan gaya hidup sihat seperti mana diterokai sejak lama dahulu yang kini perlu disepadukan, dimantapkan dan dijadikan agenda transformasi yang bukan hanya sekitar kampus, tetapi merangkumi persekitaran sehinggalah kepada usaha mewujudkan Bandar Sejahtera yang lestari, berkekalan dan berkesan,” kata Dinsuhaimi lagi.

Sementara itu ditanya kesan daripada laporan tentang tikus yang dilaporkan oleh media sebelum ini, Naib Canselor menjelaskan bahawa universiti berterima kasih di atas laporan yang dibuat sebagai satu cabaran untuk meningkatkan usaha mengatasi masalah yang ada secara holistik, bersama-sama dengan semua pihak dan terancang.

P12 2

“Pelancaran Kampus Bersih Sejahtera dalam majlis ini menandakan satu usaha kolektif yang diambil dengan melibatkan semua pihak untuk tujuan tersebut, bukan sahaja pihak universiti dengan seluruh warganya, tetapi juga pelawat, masyarakat sekitar dan pihak-pihak berkuasa lainnya yang nampaknya pada masa ini telah berupaya mengatasi masalah yang ada, walau pun hakikatnya lokasi Kampus Kesihatan ini amat dekat dengan aktiviti perniagaan sekitarnya berbanding dengan kampus-kampus lain yang agak terasing,” jelas Naib Canselor.

Walau pun kesannya telah kelihatan, namun USM masih memerlukan masa untuk terus memantau dan menentukan tahap kejayaannya.

Naib Canselor USM turut menyatakan bahawa buku hasil penulisan staf USM boleh digunakan bukan sahaja pada peringkat pengajian tinggi tetapi juga sebagai bacaan umum kerana kandungannya yang lebih berfokus kepada aspek kesihatan dan perubatan untuk masyarakat seluruhnya.

“Oleh kerana isi kandungannya yang senang difahami serta banyak pula manfaat yang boleh diperolehi, buku-buku ini sesuai untuk semua orang untuk dibuat rujukan atau panduan kesihatan diri,” katanya. - TEKS & FOTO: Mohd Rodin Che Yusoff

  • Created on .
  • Hits: 1338

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024