USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERUTUSAN 2014: TUMPUAN MEREALISASIKAN APEX FASA 2

270114-2

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Januari 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) akan menumpukan seluruh usahanya untuk merealisasikan pelaksanaan Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) Fasa 2 bermula tahun ini.

“Tumpuan utama kita ialah untruk menzahirkan segera pencapaian APEX dengan menggembleng segenap kekuatan dan sumber yang disimpulkan sebagai keterangkuman atau kebersamaan semua pihak dengan menjadikan kelestarian dan kecemerlangan sebagai prinsip dan usaha untuk mencapai kejayaan sekaligus memastikan universiti sentiasa relevan kepada tuntutan masyarakat, negara dan dunia,” kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika menyampaikan Perutusan Tahunan Bersama-sama untuk Kecemerlangan Universiti (BUKU) 2014 kepada warga Kampus Kesihatan USM di sini pagi ini.

“Kita mengharapkan dapat menzahirkan kecemerlangan ini dengan menggunakan segenap kekuatan dan kepakaran yang ada tanpa terlalu bergantung kepada orang lain dengan memastikan apa jua produk dan hasil kerja benar-benar tulen buatan Malaysia tanpa perlu melakukan usaha-usaha yang tidak beretika dan menumpang kepada pihak lain kerana saya amat yakin dengan kekuatan yang kita ada menggunakan asas kukuh yang telah lama kita bangunkan di USM ini,” tegas Naib Canselor.

Fokus USM ialah untuk mewujudkan perasaan kekitaan dan sayangkan universiti melalui konsep Saya Sayang USM dan 1USM bagi membolehkan seluruh tenaga upaya warga USM berusaha bersama-sama mencapai apa yang dirancang di bawah APEX Fasa 2 dengan strategi yang lebih menekankan kepada kerja berpasukan, malah akan menubuhkan inisiatif Sahabat USM untuk menggemblengkan kekuatan bersama bagi tujuan yang sama.

“Pada masa ini USM telah pun mempunyai lebih 113,000 orang alumni yang seharusnya boleh digembleng bersama-sama di samping mereka lain yang memang berhasrat untuk menjadi sahabat USM, namun ia bergantung sebahagian besarnya kepada kita semua untuk mengajak mereka bersama-sama dalam usaha-usaha yang dilakukan di kampus ini dan kampus-kampus USM lainnya,” kata Naib Canselor kepada kira-kira 500 orang warga Kampus Kesihatan.

Terdapat sekurang-kurangnya 7 asas kecemerlangan yang dijadikan asas utama iaitu pembudayaan penyelidikan, kekuatan akademik, kekuatan jaringan, kesejahteraan individu, kestabilan institusi, kestabilan persekitaran, budaya kelestarian, pembudayaan kesejahteraan dan mengukuhkan budaya hubungan sama ada dalam kalangan warga mahu pun pihak-pihak lain.

“Pencapaian kita selama ini semenangnya begitu memberangsangkan dalam pelbagai segi, namun kita perlu lipatgandakan usaha untuk terus merealisasikan program APEX Fasa 2 ini,” tegas Naib Canselor.

270114-1

Omar menggariskan 7 pemboleh yang akan menentukan kejayaan APEX Fasa iaitu tadbir urus yang baik, membangun dan mengupaya bakat, memupuk warga yang bertanggungjawab, penyelidikan dan inovasi, melestarikan kewangan, memposisi atau postioning dan perkhidmatan.

Selain dari itu, Naib Canselor juga mengupas tentang 7 tonggak APEX iaitu usaha-usaha untuk mencapai tahap “prominence” bertaraf dunia dan dikenali dalam penyelidikan dan inovasi melalui penubuhan Pusat Inisiatif Penyelidikan (CRIs), Pusat Kecemerlangan, menggerakkan lebih 46 pusat berasaskan penyelidikan dan perkhidmatan penyelidikan serta membangunkan jenama global, membangunkan bakat daam bidang kekuatan serta mengusahakan agar pusat-pusat penyelidikan USM dipautkan dengan pusat-pusat kecemerlangan dunia yang lain untuk berkongsi kekuatan dan kepakaran.

Naib Canselor turut menekankan kepada tonggak kedua yang menumpukan Kepimpinan APEX dan Program Pembinaan Negara dengan membangunkan seluas mungkin potensi-potensi bakat yang ada termasuk dalam kalangan pelajar sekolah.

Tonggak ketiga ialah Perkongsian APEX yang menumpukan kepada usaha untuk universiti berkongsi segala amalan terbaik mahu pun ilmu dengan pelbagai pihak lain seperti mana yang dilakukan melalui Program Pemindahan Ilmu yang telah dilakukan dengan jayanya selama ini.

“Orang yang berilmu tidak lokek dengan ilmunya dan bersedia untuk berkongsi dengan orang lain demi faedah masyarakat,” kata Omar.

Manakala tonggak keempat tertumpu kepada usaha untuk membangunkan dan memposisikan APEX kepada dunia seluruhnya agar dapat memberikan manfaat kepada seluruh umat manusia.

“Misalnya, USM kini telah pun membangunkan metodologi penilaian kelestarian yang seharusnya dapat digunakan sebagai indeks dan indikator kualiti kelestarian di samping USM membangunkan Rangkaian Global seperti Asia Pacific University-Community Engangement Network (APUCEN), South East Asian Sustainability Network (SEASN), Global Higher Education Network (GHEN) dan ASEAN Local Knowledge Network (ALKN) yang dapat membangunkan rangkaian kerjasama sedunia dan berkongsi kepakaran yang ada,” jelasnya lagi.

APEX Fasa 2 juga meletakkan tonggak Akademik dan Pembangunan Pelajar sebagai satu usaha utama untuk melahirkan generasi masa hadapan yang mempunyai set minda global pada semua peringkat pengajian, melibatkan seluruh warga dan melonjakkan pensyarah mahu pun mahasiswanya sebagai mereka yang eminence dan prominence di dalam negara mahu pun di pentas dunia.

1601208 10203066004115402 1158019367 n

“Saya mengharapkan kita akan berupaya untuk menghasilkan siswazah yang sebahagian besarnya dapat berkhidmat dengan syarikat-syarikat multinasional dunia di pentas antarabangsa, berjaya pula melaksanakan Program ‘APEX Scholar’ dengan bantuan pelbagai pihak dan yang utamanya dapat melahirkan mereka yang berdaya saing dengan 5 ciri utama iaitu berset minda global, berpengetahuan global, mempunyai dan menguasai budaya persekitaran dalam mana-mana budaya sekali pun, kemahiran yang kukuh dan mantap dalam berkomunikasi dan berupaya pula mengurus perhubungan kompleks inter personal yang melibatkan silang budaya, kepelbagaian dan kerencaman yang ada dalam masyarakat dunia,” kata Omar.

Tonggak keenam tertumpu kepada Pembangunan Institusi dengan usaha melahirkan pemimpin yang mampu melakukan transformasi dan bersifat transformatif, memberi perhatian kepada keperluan warga wanita dan keluarga, menzahirkan tadbir urus insaniah, melaksanakan polisi-polisi baharu seperti dalam penggunaan tenaga yang lebih lestari, menubuhkan pejabat pengurusan aset dan harta serta mengamalkan dasar pengurusan kejat (lean management).

“Universiti akan memberikan pengupayaan yang lebih luas lagi kepada pelbagai pihak untuk menggerakkan universiti sama ada dalam bentuk kuasa, autonomi, autoriti, kemahiran, sumber dalam proses membuat keputusan menggunakan garis panduan yang ada dan jika perlu membangunkan yang baharu,” tambah Naib Canselor.

Tonggak ketujuh dalam memastikan kejayaan pencapaian APEX Fasa 2 terletak kepada Kelestarian Kewangan yang memerlukan usaha-usaha yang bersungguh-sungguh secara kreatif dan inovatif, menerokai dan mewujudkan peluang perniagaan baharu dan memperkasakan usaha dalam pengurusan risiko.

“Saya mengucapkan tahniah atas segala usaha yang dilaksanakan di Kampus Kesihatan ini, namun pada masa yang sama, berharap untuk kita bersama-sama melakukan transformasi yang khusus di sini, mengikut keperluan yang ada secara berstrategik, melaksanakan segera pelan strategik kampus, meningkatkan prasarana dan kemudahan yang ada serta merealisasikan segera pusat perubatan pakar dan swasta,” katanya di akhir perutusan tersebut.

Hadir sama ialah Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed, Ketua Pengarah Malaysia Productivity Corporation (MPC), Dato’ Mohd Razali Hussain, Ketua Pengarah STANDARD Malaysia, Puan Fadilah Baharin, Pengarah Urusan SIRIM QAS International, Puan Khalidah Mustafa, Pengurus Besar Intertek Moody International, Dr. Ooi Cheng Lee serta pegawai-pegawai utama USM yang lain. - TEKS: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1602

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024