KPM IKTIRAF ZULKIFLI
PUTRAJAYA, 28 Januari 2014 – Pegawai Kebudayaan Universiti Sains Malaysia (USM), Zulkifli Che Hussin diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan menganugerahkan kepada beliau Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC).
Beliau adalah antara 13 orang staf KPM yang dianugerahkan pingat tersebut untuk tahun 2012. Pingat tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia Y.A.B. Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yaasin bersempena Majlis Perutusan Y.A.B. Menteri Pendidikan Tahun 2014 yang diadakan di sini semalam.
Calon-calon tersebut dipilih dan dicalonkan oleh pihak Universiti serta melalui pemilihan akhir di peringkat KPM. Antara kriteria pemilihan PPC adalah calon mestilah pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, menunjukkan kecermalangan yang luar biasa dalam tugas yang diamanahkan, aktif dalam penglibatan dan sumbangan di luar tugas rasmi, memberi galakan untuk melibatkan diri dalam projek kesukarelawan dan kemasyarakatan serta kebudayaan dalam tempoh tiga tahun terakhir.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Universiti kerana mencalonkan saya dan saya dedikasikan pingat ini kepada seluruh warga USM. Saya percaya penghargaan dan kejayaan ini bukan hasil peribadi ianya harus dikongsi dengan orang lain,” ucap Zulkifli yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Abe Yoh’.
“Pingat ini adalah sebagai satu bentuk motivasi kepada saya dan juga warga KPM yang lain amnya dan USM khususnya kerana setiap penjawat boleh merebut peluang yang terbuka ini,” tambah Abe Yoh yang membawa pulang pingat dan sijil. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Sumbangan Zulkilfi Che Hussin
- Created on .
- Hits: 1723