USAHA TARIK MINAT PELAJAR DALAM SAINS
SINTOK, Kedah, 28 Januari 2014 - Usaha terus dibuat untuk menarik minat pelajar terhadap bidang sains, terutamanya sains neuro.
Antaranya ialah dengan mencari calon-calon mewakili Malaysia dalam Pertandingan Brain-Bee yang diadakan di kawasan utara. Ia berlangsung di Dewan Tan Sri Othman, Universiti Utara Malaysia di sini yang melibatkan 310 peserta dari 15 buah sekolah menengah telah menyertai ujian saringan. Daripada jumlah itu, seramai 155 peserta terpilih untuk ujian suku akhir pada Mac 2014, manakala pertandingan akhir akan diadakan pada bulan Mei ini.
Mereka yang terpilih nanti akan mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa yang akan berlangsung di Washington D.C, Amerika Syarikat pada Ogos ini.
Acara ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden Kolej Sastera dan Sains (CAS) UUM dengan kerjasama Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM).
Penyelaras Pertandingan Brain-Bee Zon Utara, Profesor Madya Dr Fauziah Abdul Rahim berkata penganjuran pertandingan Brain Bee ini adalah untuk memupuk minat pelajar-pelajar sekolah dalam bidang sains amnya dan neuro sains khususnya.
Tambahnya lagi, program ini sejajar dengan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membudayakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi meningkatkan bilangan pelajar yang meminati jurusan yang berkaitan bagi membantu negara mencapai wawasannya untuk menjadi negara maju.
Penyelaras Pertandingan Brain-Bee yang juga Ketua Projek Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM, Dr Muzaimi Mustapha berkata, ujian saringan yang diadakan buat julung kalinya di zon utara ini menerima sambutan menggalakkan dan akan diperluaskan ke seluruh negara.
Hadir sama ialah Pengarah Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains USM, Profesor Dr Jafri Malin Abdullah yang juga merangkap Pengarah International Brain Bee Malaysia, serta pegawai-pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu. Teks dan gambar disesuaikan dari yang asal oleh Mohd Amir Aizat Sainon, UUM.
- Created on .
- Hits: 1322