USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PIMPIN SISWA LANJUTAN PERKASA JATI DIRI SISWA USM

Presentation3

PULAU PINANG, 31 Jan.2014 – Sekumpulan 104 peserta dalam kalangan siswa-siswi Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menamatkan program khusus Pimpin Siswa Lanjutan sebagai kesinambungan kepada Pimpin Siswa Asas yang diwajibkan kepada pelajar tahun satu yang baru mendaftar.

Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP), Profesor Dr. Adnan Hussein berkata, program lanjutan tersebut dilaksanakan khusus bagi membentuk jati diri mahasiswa berasaskan kepada lapan teras utama model siswa-siswi USM (MyCSD).

Katanya, teras berkenaan meliputi aspek cinta akan universiti, cinta akan negara/patriotisme, jati diri, ketahanan diri, kelestarian, kemahiran insaniah, kerohanian dan keupayaan intelektual.

``Program Pimpin Siswa Lanjutan ini dilaksanakan selama sepuluh hari dan disertai oleh pelajar dari ketiga-tiga kampus USM termasuk kampus kejuruteraan dan kampus kesihatan.

``Mereka yang menyertai kursus ini perlu melepasi kelayakan khas termasuk telah mengikuti program Pimpin Siswa Asas, PNGK 2.50 ke atas, pemimpin pelajar (Kelab, Persatuan, dsb) serta pelajar yang mempunyai bakat dalam 8 teras MyCSD,’’ ujarnya ketika hadir bersama dalam program tersebut baru-baru ini.

Presentation2

Tambah beliau, program tersebut juga dipecahkan kepada dua modul iaitu Modul Aktiviti Lasak yang berlangsung di sekitar Negeri Perak dan Modul Pembangunan Kendiri yang dijalankan di Langkawi, Kedah.

Katanya, antara aktiviti yang dimuatkan dalam program lasak termasuk berakit melalui Sungai Perak menggunakan rakit yang dibuat sendiri oleh pelajar, memasak makanan dengan hanya dibekalkan bahan mentah, berjalan kaki menyusuri kampung dan sebagainya.

``Untuk Modul Pembangunan Kendiri pula, ia agak berlainan kerana peserta ditekankan kepada aspek pembangunan kendiri seperti kepimpinan dan keusahawanan.

``Peserta diajar tentang bagaimana cara berkomunikasi yang betul, cara berpakaian yang sesuai, gaya kepimpinan yang tepat, diajar tentang keusahawanan dan juga adab yang betul di meja makan,’’ ujar Adnan lagi.

Presentation1

Sementara itu, antara aktiviti keusahawanan yang dijalankan adalah Kembara Minda yang mana peserta perlu keluar ke tempat-tempat yang telah ditetapkan untuk berniaga termasuk di Padang Matsirat, Kuah, Pantai Chenang, Makam Mahsuri dan sebagainya.

Melalui aktiviti ini, peserta diminta untuk sekurang-kurangnya menjana pendapatan minimum RM500 dan tidak dibenarkan membawa wang dan hanya dibenarkan membawa kad pengenalan dan sebuah telefon bimbit untuk setiap kumpulan sahaja. Teks:Marziana Mohamed Alias/Foto: Ehsan BHEPP

  • Created on .
  • Hits: 1888

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024