NASHA - MINATNYA KEPADA INSKRIPSI SANSKRIT
Melihat anak muda ini berada dalam kalangan para pensyarah dan komuniti di University of Peshawar (UoP) Pakistan, dia seolah-olah sudah menjadi sebahagian dan sebati dengan mereka. Cara berpakaian, berpelukan dan berbual, sukar untuk percaya yang dia baharu berada di bumi Pakistan sejak hujung tahun 2011 yang lalu.
“Saya sudah biasa bergaul dengan mereka, bertemu di pasar Peshawar untuk membeli sayur-sayuran dan buah-buahan yang begitu murah di sini,” kata calon doktor falsafah UoP anak kelahiran Butterworth Pulau Pinang, Nasha bin Rodziadi Khaw.
Anak muda yang berusia 28 tahun itu mempunyai cita-cita dan keazaman yang kuat untuk menerokai bidang yang tidak ramai diceburi ini iaitu keupayaan untuk membaca dan menterjemah inskripsi Sanskrit yang merupakan salah satu sub-bidang dalam kajian arkeologi.
Walau pun ada khabar mengatakan dia yang merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang sedang mengikuti pengajian Arkeologi di UoP, sering berharap untuk segera kembali ke tanahair, tetapi anak muda ini cepat menafikannya.
“Saya selesa di sini, dengan orang-orang sekeliling sangat membantu apatah lagi dapat menghabiskan banyak masa di muzium yang menyimpan pelbagai khazanah arkeologi yang terdapat di sini,” kata anak muda ini.
Nasha dikenali ramai di sini terutamanya dalam kalangan ahli-ahli akademik dan dilayan dengan begitu baik.
“Saya beruntung mendapat calon pelajar ijazah tinggi yang amat komited dan mempunyai minat mendalam dalam kerja-kerja penyelidikannya,” kata penyelianya, seorang ahli akademik dan pakar arkeologi dunia yang terkemuka, Prof. Dr. M. Nasim Khan.
Nasim kini adalah Pesuruhjaya Arkeologi untuk Wilayah Khyber-Pakhtunkhwa Pakistan di samping pernah menjadi Pengarah Institut Arkeologi dan Antropologi Sosial dan masih ahli akademik di UoP.
Menurut Nasha, minatnya yang mendalam terhadap arkeologi timbul sejak kecil lagi dengan tumpuan utamanya kepada bidang sejarah semasa di zaman persekolahannya.
Beliau memiliki ijazah pertama dan peringkat sarjana dari Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum melanjutkan pengajian di UoP atas dorongan Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Profesor Dr. Mokhtar Saidin.
“Saya dibawa ke beberapa buah muzium seluruh Pakistan untuk melihat pelbagai bahan dan prasasti yang ada dan dibenarkan memilih apa sahaja bahan yang saya ingin kaji di sini,” kata Nasha penuh gembira, anak kepada seorang pembantu farmasi yang telah bersara dan ibu yang menjadi suri rumahtangga sepenuh masa.
Nasha merupakan satu-satunya pelajar yang mempunyai pengkhususan dalam kajian inskripsi bahasa Sanskrit dan sistem tulisan Brahmi dan Sarada di rantau ini yang berupaya menterjemah batu-batu bersurat lama di sekitar Pakistan yang belum diterokai sepenuhnya.
Menurutnya lagi, kajian yang dilakukannya sekarang adalah berkaitan dengan tamadun Gandhāra yang merupakan sebuah kerajaan kuno yang berkembang di Barat Laut Pakistan dan Timur Afghanistan.
Berdasarkan kepada penulisan RigVeda (1800 Sebelum Masihi), Gandhāra merujuk kepada masyarakat yang mendiami kawasan Barat Laut benua kecil India.
“Sejarah politik Gandhara yang panjang membawa kepada penemuan pelbagai penemuan arkeologi yang kebanyakannya dapat dipertarikhkan dari kurun ke-2 Sebelum Masihi hingga kurun ke-11 Masihi, antaranya melibat penting arca, monumen dan wang syilling yang kesemuanya memberi gambaran dari segi sejarah politik, ekonomi, agama dan kesenian gandhāra dengan penemuan arkeologi terpenting yang memberi gambaran sahih mengenai sejarah politik dan agama di sini ialah penemuan prasasti yang ditulis dalam pelbagai aksara,” kata Nasha.
Menurutnya lagi, sehingga kini, kajian terhadap prasasti-prasasti yang menggunakan aksara aksara Brāhmī dan Śāradā di Gandhāra adalah amat terhad, dan sejumlah besar prasasti-prasasti tersebut masih belum diterjemahkan yang apabila dibuat akan memberi impak isi kandungannya terhadap sejarah sedia ada.
Menurut Mokhtar pula, Nasha apabila tamat pengajiannya nanti akan menjadi satu-satunya ahli arkeologi rantau ini yang berupaya menggunakan kaedah saintifik dalam menganalisis dan memahami inskripsi yang ada dalam bahasa Sanskrit yang ditemui di seluruh dunia.
"Terdapat banyak khazanah yang belum diteroka sepenuhnya yang jika dibuat, bertahun-tahun akan datang akan memberi faedah terutamanya dalam memahami sejarah perkembangan agama termasuk dalam kalangan umat Islam dalam mengenali tamadunnya sendiri yang selama ini tidak jelas dan terdapat kekosongan di antara perkembangan pelbagai agama yang ada," tambahnya lagi.
Walau pun gembira dengan peluang yang ada dalam menjayakan cita-citanya untuk mencontohi ahli-ahli akademik seperti Mokhtar dan Nasim, Nasha tidak pernah lupa asal usulnya.
Ini ternyata dari riak mukanya yang gembira menerima pelbagai barangan dari Malaysia yang dibawa Mokhtar ketika menemuinya di Peshawar baru-baru ini seperti kicap, mee segera, ikan bilis dan sebagainya.
“Emak juga sering kirimkan barang-barang makanan yang saya perlu untuk saya masak sendiri sepanjang berada di sini, walau pun tidak bermasalah dengan makanan tempatan,” katanya yang baru sekali pulang menziarahi ibunya yang tidak sihat beberapa bulan lalu. - TEKS & FOTO: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1600