USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HASILKAN PENYELIDIKAN BERIMPAK TINGGI - USM Tandatangan MoU Bantu Pekebun Kecil

060214-1

KUALA LUMPUR, 6 Februari 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini memeterai persefahaman dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk mengadakan penyelidikan berkaitan amalan pertanian terbaik bagi mengoptimumkan produktiviti getah melalui kaedah pembajaan berkesan; kaedah penggunaan bahan rangsangan pengeluaran getah dan  inovasi penorehan. 

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KLBW), Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal, penyelidikan penting dalam menghasilkan produk dan ilmu baharu untuk pembangunan negara, namun yang lebih penting ialah untuk universiti melakukannya dengan dapatan berimpak tinggi.



060214-2

 "Ia adalah untuk memastikan agar dapatan berkenaan dapat dikongsi sama oleh masyarakat dalam meningkatkan ekonomi terutamanya dalam kalangan masyarakat luar bandar," kata Mohd. Shafie.

Kerana itu, tegasnya lagi, penyelidikan yang dibuat perlulah relevan dan realistik bukan sahaja untuk penulisan jurnal tetapi dapat difahami dan hasilnya boleh dikongsi oleh masyarakat, katanya mengalu-alukan usaha USM dan RISDA hasil persefahaman yang ditandatangani pagi ini.

Beliau juga berharap memorandum persefahaman yang ditandatangani ini juga dapat memberi faedah dalam membangunkan industri hiliran dalam kalangan pekebun kecil.

14795 10203152708682962 355985540 n

Terdahulu, dalam ucapan pada majlis yang sama, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, USM bersedia melakukan perkongsian ilmu untuk faedah masyarakat dan orang ramai, seperti hasil yang diharapkan dari penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) ini.

Menurut Omar, USM sentiasa mengalu-alukan usaha seperti ini yang telah banyak dibuat sebelum ini melalui kerjasama dengan pelbagai pihak.

Persefahaman ini juga diharapkan dapat memperkasa kerjasama akademik, pengajaran dan penyelidikan secara usaha sama di antara Kolej RISDA dan USM serta membantu RISDA membangunkan klon baru yang berpotensi tinggi dengan maklumat genom yang ada di domain umum.

264590 10203152708162949 1195447671 n a

MoU tersebut ditandatangani oleh Omar bagi pihak USM manakala Ketua Pengarah Dato' Wan Mohamad Zuki Hj Mohamad menandatanganinya bagi pihak RISDA dengan disaksikan oleh Menteri KLBW. Hadir sama ialah Timbalan Menteri KLBW, Datuk Alexander  Nanta Linggi, Ketua Setiusaha Dato' Seri Ibrahim Muhammad, Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM Profesor Madya Dr Ahmad Sofiman Othman dan pegawai-pegawai kanan RISDA dan USM. Teks dan Foto: Mohamad Abdullah 

  • Created on .
  • Hits: 1148

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024