USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LATIH BIJAKSANA MATEMATIK SEAWAL TIGA TAHUN

IMG 1768

PULAU PINANG, 6 Feb.2014 – Sekumpulan ahli akademik dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenalkan kaedah efektif dalam melahirkan bijaksana subjek Matematik melalui teknik khas yang diterjemahkan dalam program Lazymaths & Easy Art (LEA).

Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Profesor Dr. Abdul Rashid Mohamed berkata, LEA adalah satu kaedah pengajaran yang menekankan aspek ‘belajar cara untuk belajar’ dan ‘belajar untuk berfikir’ serta melakukan perkara yang betul.

Katanya, LEA direka khusus dengan menggunapakai kaedah Q-Brain iaitu kuantum (kelajuan/kecepatan), kualiti, kuantiti, keadaan dan suasana pembelajaran yang betul dan usaha berterusan bagi menjadikan Matematik sebagai satu subjek yang menyeronokkan, bukan membosankan mahupun dianggap rumit.

``LEA memberi penekanan yang khusus kepada perkara asas dalam pembelajaran iaitu memupuk minat kanak-kanak seawal usia tiga tahun untuk melihat dan memahami nombor sebagai sesuatu yang menyeronokkan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas memperkenalkan program tersebut yang kini sedang dijalankan di USM melalui kelas hujung minggu yang dipanggil Advanced Guidance Education System (AGES), dikelolakan oleh Unit Penyelidikan Pendidikan Asas, PPIP.

LEA lebih berbentuk program pembelajaran dua hala untuk para guru, ibu bapa dan kanak-kanak memahami corak dan paten  pada nombor, sekaligus mencetus otak untuk berfikir cara untuk meyelesaikan masalah matematik dengan mudah.

IMG 1744

Beliau turut berkata, untuk menjayakan sistem kurikulum khususnya dalam subjek Matematik, asas kepada literasi Matematik perlu dilihat sebagai peranan utama untuk diperkemaskan.

``Jika di peringkat awal kanak-kanak sudah tidak mempunyai minat dan perasaan ingin tahu dengan nombor-nombor (number sense), yang akan berlaku adalah hanya hafalan dan mereka menghafal hanya untuk menduduki peperiksaan.

``Dengan menghafal pula kanak-kanak ini nanti akan berdepan dengan beban dan tekanan (stress) khususnya apabila subjek tersebut menjadi semakin canggih dan rumit peringkat demi peringkat,’’ ujar beliau lagi.

Tambah Abdul Rashid, Matematik adalah satu subjek penting yang harus dikuasai, bukan dihafal dan LEA menyediakan kaedah yang betul untuk mempelajari subjek tersebut kerana ia bercirikan aspek melatih otak, boleh digunakan oleh semua orang, membolehkan otak menyimpan memori dan paling penting menyeronokkan.

Katanya lagi, program tersebut telah dijalankan ke atas 300 pelajar sekolah rendah di sekitar Pulau Pinang dan sehingga kini hasilnya amat memberangsangkan dan kesemua peserta telah terdedah kepada kaedah pembelajaran yang menyeronokkan tersebut.

``Sesetengah kanak-kanak mempunyai keistimewaan dilahirkan dengan kemampuan otak yang cemerlang dan seterusnya membesar dengan pelbagai kelebihan dari yang lain atau boleh dikategorikan sebagai genius semulajadi.

``Pun begitu, dengan adanya kepakaran dan pemahaman yang jitu dalam kalangan penyelidik mengenai tumbesaran dan kemampuan otak kanak-kanak, genius boleh dibentuk melalui program berterusan, latihan dan pendedahan yang sepatutnya mengikut perkembangan mereka,’’ ujar beliau.

Katanya, melalui program yang dibangunkan dengan kerjasama rakan industri, Sterling Management itu, ia berupaya melatih kanak-kanak untuk mengoptimumkan ransangan terhadap keupayaan otak mereka.

Kaedah pembelajaran sistematik ini turut melibatkan proses intensif ke arah membentuk personaliti kanak-kanak, sikap dan kepercayaan terhadap diri sendiri yang utuh.

Mengulas hala tuju program tersebut, beliau berkata:``USM dengan moto Kami Memimpin sentiasa tampil dengan kaedah terkini dalam menambahbaik mutu pengajaran dan pembelajaran untuk para pelajar.

``Terkini dengan LEA, kita berharap para pelajar USM yang telah didedahkan dapat mengaplikasikan kaedah ini ke sekolah-sekolah yang mereka pergi, seterusnya membuka mata semua pihak untuk menambahbaik sistem sedia ada.’’

Ujar beliau, manfaat penggunaan teknik seumpama itu adalah amat besar dan dianggarkan Malaysia mampu mencapai 60 peratus dari kalangan pelajarnya mengambil subjek Sains dan Matematik selepas tingkatan tiga berbanding kurang dari 30 peratus pada ketika ini. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1245

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024