USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USAHA PERKASAKAN PUSAT ISLAM SEBAGAI TEMPAT RUJUKAN ANTARABANGSA

IMG 1670

Pulau Pinang, 6 Februari 2014 – “Saya yakin dengan kemudahan dan sumber yang dimiliki Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) yang mampu diperkasa sehingga diikitiraf sebagai rujukan utama di peringkat antarabangsa," kata Pengarah Pusat Islam yang baharu memegang jawatan tersebut, Profesor Dato' Dr. Muhammad Idiris Salleh.

Menurut Muhammad Idiris, Pusat Islam mempunyai kepakaran tersendiri bukan sahaja dalam bidang agama, bahkan pengurusan pentadbiran yang mampu melonjak dari tahap sedia ada.

Dalam pertemuan yang berlangsung di pejabatnya, Muhammad Idiris yang pernah menjadi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) pada 2004 - 2007 mengharapkan aspek pengurusan dan pentadbiran sekiranya dapat dimantapkan lagi, ia mampu menjadi Pusat terbaik sebagai rujukan semua pihak. Muhammad Idiris menggantikan Prof. Madya Nasirun Hj. Mohd. Saleh mulai 1 Januari lalu.

Prof. Dato’ Dr. Muhammad Idiris Salleh, seorang pakar dalam bidang Kimia Pemisahan dan Pengordinatan telah berkhidmat di USM sejak 1980 dan pernah menjadi Dekan Pusat Pengajian Sains Kimia. Beliau juga kini adalah Pengerusi Jawatankuasa Qariyah Masjid Teluk Kumbar, Pulau Pinang.

"Sekiranya diizinkan saya  ingin meletakkan Pusat Islam sebagai rujukan utama terutamanya yang berkaitan isu Halal dan mengharapkan satu masa nanti Pusat Islam akan lebih dikenali oleh semua pihak di dalam mahu pun di luar negara bagi mendapatkan kesahihan maklumat yang berkaitan dengan pelbagai isu terutamanya tentang produk halal," kata Muhammad Idiris.

Jelasnya lagi, kita mempunyai tenaga pakar dalam bidang industri teknologi makanan, begitu juga dengan kepakaran dalam bidang-bidang lain termasuk sebagai pakar hadis, yang sekiranya ini dapat disatukan di bawah payung Pusat Islam, pasti ia akan memberi impak kepada universiti dan negara secara keseluruhannya”

Muhammad Idiris melihat usaha seperti ini, terutamanya dalam mengadunkan dengan sempurna di antara sains dan agama serta keseluruhan nilai-nilai dan pelbagai disiplin ilmu yang  tidak boleh dipisahkan sebagai usaha yang amat penting apatah lagi, Al-Quran sendiri bukan hanya mengajar dan mendidik dalam hal yang berkaitan agama, tetapi penuh tersurat dan tersirat dengan pelbagai ilmu termasuk Sains dan Matematik.

"Yang penting pada peringkat awal ini saya ingin berfokus dahulu kepada usaha untuk mengukuhkan pentadbiran dan pengurusan fizikal, Sumber Manusia dan Hala Tuju Pusat Islam itu sendiri," kata Muhammad Idiris.

IMG 1690

Fizikal yang dimaksudkan adalah mempertingkatkan lagi keselesaan, keceriaan dan kebersihan masjid yang harus dipandang tinggi buat orang Islam menggunakannya.

Dari segi sumber manusia pula Muhammad Idiris akan bersama-sama warga Pusat Islam melakukan penambahbaikan penjawatan, terutamanya pegawai pentadbiran yang mampu mentadbir urus dengan sistematik, malah prestasi imam-imam yang bertanggungjawab menyelaras Masjid yang akan sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa termasuk proses penyampaian dari staf-staf Pusat Islam yang lebih strategik dan efektif.

Manakala hala tuju Pusat Islam yang lebihtepat bagi memastikannya sentiasa  selaras dengan misi dan visi universiti.

“Baru-baru ini kita telah mendengar Perutusan 2014 termasuk harapan beliau di dalam BUKU 2014 yang Pusat Islam seharusnya mengambil pendekatan untuk menjadikannya sebagai panduan untuk diterjemahkan bagi menepati sasaran yang diingini” ujar Pengarah Pusat Islam itu lagi.

Namun tegasnya lagi, untuk menjadi Pusat Islam di sebuah universiti dalam mencapai kelas dunia bukanlah suatu usaha yang mudah, tetapi tidak mustahil sekiranya semua pihak bersama-sama berusaha mencapainya.

Beliau berharap dan menyeru agar tenaga-tenaga pakar termasuk faham bidang Al-Quran dan hadis berusaha menerbitkan Al-Quran yang diindekskan ayat-ayat mengikut bidang tersendiri sebagai rujukan dan memberikan lebih kefahaman untuk semua pihak menyedari dan mengambil pengajaran dalam membangunkan tamadun ummah seluruhnya apatah lagi dalam konteks universitidan ilmu.

“Sekiranya diterbitkan, tentunya memberi kemudahan untuk semua orang mengkaji hikmah yang terkandung di dalam kitab suci Al-Quran” tambahnya lagi.

Ketika ditanya mengenai keterbukaan yang diamalkan oleh Pusat Islam, beliau amat menggalakkan seluruh warga kampus dan luar kampus bersama-sama menjalankan pelbagai aktiviti sosial selain dari menjadikan masjid dan Pusat Islam sebagai tempat untuk menunaikan ibadah khusus seperti solat sahaja, tetapi sebaliknya sebagai pusat pembangunan dan tamadun ummah seluruhnya.

Ditanya perasaannya apabila dilantik sebagai Pengarah Pusat Islam, Muhammad idiris berkata, “pada mulanya agak sukar saya menerima amanah dan tanggungjawab ini atas sebab umur dan beberapa aspek lain, tetapi harapan tinggi yang diberikan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Omar Osman, membuatkan saya menyahut cabaran ini dan akan melakukan terbaik demi universiti”

Pada akhir pertemuan, beliau menegaskan harapannya agar para pendakwah sentiasa memperbaiki cara berdakwah dengan mengambil pendekatan  lebih berkesan mengikut kesesuian masa dan generasi kini dengan mengutamakan perkara-perkara asas dalam berdakwah, iaitu mementingkan nilai-nilak keikhlasan dalam berdakwah melalui latihan dan motivasi, agar lebih dihormati, difahami dan mudah diikuti. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1309

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024