MENCARI IKON WARGA CEMERLANG APEX
PULAU PINANG, 7 Februari 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) akan secara berterusan membentuk dan mencari ikon dalam kalangan seluruh warganya, sama ada kakitangan mahupun mahasiswa dapat dijadikan contoh yang akan diikuti jejaknya oleh orang atau pihak lain sebagai sebahagian daripada tanggungjawab dalam melaksanakan Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) Fasa 2 ini.
Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, dalam pelaksanaan Apex Fasa 2 ini terdapat kira-kira 70 program dan projek yang akan dilaksanakan melalui 7 pasukan petugas melalui pelbagai cara dengan melibatkan lebih 200 orang petugas di samping penglibatan oleh semua ketua jabatan untuk memantau dan memberikan idea.
“Umumnya kita sudah mendapat isyarat positif daripada Jawatankuasa Khas untuk meneruskan Program APEX Fasa 2 walaupun secara rasminya belum diperolehi kata putus namun Jawatankuasa tersebut meminta USM menekankan kepada dua perkara utama,” kata Omar kepada warga Canselori dan ketua-ketua jabatan yang hadir dalam perhimpunan bulanan pagi ini.
Jelasnya, dua tumpuan tersebut ialah perlunya USM memastikan bahawa kejayaan universiti adalah berasaskan kepada budaya kecemerlangan yang merentasi seluruh komunitinya, dibina dalam seramai mungkin warga yang berbeza daripada warga universiti lain.
Kedua, program Apex diandai dan dianggap dapat menghasilkan sesuatu yang tinggi, harapan dan jangkaan yang tinggi dengan perkiraan bahawa apa jua yang baik dan baharu perlu datangnya dan diterajui oleh USM.
“Andaian, harapan dan anggapan kita sekarang ini ialah semua warga kita cemerlang yang perlu diteruskan dan diterapkan di semua peringkat secara berterusan,” kata Naib Canselor.
Tegasnya lagi, ini adalah tanggungjawab berat yang perlu dipikul oleh semua orang dalam USM dengan tumpuan besar sekarang ialah pencarian bakat dalam kalangan staf dan pelajar untuk dicemerlangkan, termasuk di peringkat paling bawah untuk diikuti oleh orang lain sebagai teras dan tujahan USM APEX dengan usaha mencari bakat mereka yang benar-benar berbeza dan mempunyai kelainan sebagai ikutan dalam arus kecemerlangan.
“Tugas sebuah universiti APEX ialah untuk membina negara bangsa yang mempunyai mentaliti kelas pertama yang saya yakin boleh dicapai jika kita bersungguh-sungguh apatah lagi tahun 2014 ini adalah tahun yang penuh cabaran untuk bekerja bersama-sama,” tegas Naib Canselor lagi.
Terdahulu, Pengarah Pejabat Transformasi, Dato’ Haji Ellias Haji Zakaria berkata, USM APEX sama ada pada fasa terdahulu mahu pun pada fasa seterusnya adalah berteraskan kepada tiga perkara yang dianggap tinggi, iaitu anugerah yang tinggi, imej yang tinggi dan harapan yang tinggi.
“Cara berfikir dan kaedah bekerja kepimpinan universiti juga telah berubah dan beranjak kepada pemikiran bertunjangkan masa hadapan, ilmu dan budi yang tinggi dengan natijahnya untuk menghasilkan kecemerlangan dan usaha membetulkan jiwa secara bersama-sama menggunakan ilmu dan budi yang tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis yang sama.
Tegas Haji Ellias lagi, dalam melaksanakan keseluruhan usaha seperti ini, tiga lagi perkara perlu diberikan perhatian oleh seluruh warga USM iaitu perlu ada rasa cinta dan sayang, berpegang kepada prinsip bersama-sama dalam semua usaha sebagai seorang ahli yang pintar dalam pasukan kerja yang pintar serta perlu juga memiliki keikhlasan dalam apa jua yang dilakukan.
“Ketiga-tiga ini perkara ini akan berupaya menzahirkan maksud ilmu dan budi yang cantik dan indah dipandang,” kata Haji Ellias lagi.
Turut berucap berkongsi pengalamannya ialah kakitangan dari Seksyen Pengambilan Pelajar, Roshimah Hassan yang bercerita tentang pengalaman kerjanya di USM selama ini.
Antara yang hadir dalam perhimpunan ini ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) Profesor Dr. Adnan Hussein, Pendaftar Siti Zubaidah A. Hamid, Pengarah Pusat Islam Profesor Dato’ Muhammad Idiris Salleh serta beberapa orang Dekan, Ketua Jabatan dan warga Canselori. - Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1173