USM PERKENAL KAEDAH PENGURUSAN STROK KE PAKISTAN
PULAU PINANG, 8 Feb.2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) memperluas jaringan komunitinya ke persada antarabangsa apabila mula memindahkan kepakaran pengurusan dan pemulihan penyakit angin ahmar (strok) kepada masyarakat di Pakistan.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM kini dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) telah mengenalpasti beberapa projek di Pakistan, termasuk membina Pusat Keseimbangan Badan dan Pemulihan Strok di sana.
Katanya, jika sebelum ini, USM melalui kepakaran ahli akademik PPSK telah berjaya membangunkan beberapa modul dan latihan untuk pemulihan strok di negara ini, ia kini dikembangkan pula kepada komuniti luar.
``USM komited untuk menjayakan usaha ini yang disifatkan dapat mencetus kesedaran mengenai cara pengurusan pesakit strok untuk pesakit dan juga orang di sekeliling yang menjaga pesakit tersebut.
``Pendidikan kepada ahli keluarga khususnya tidak kurang penting untuk membolehkan mereka mengamalkan teknik pemulihan yang betul dan dapat menguruskan sendiri pesakit di rumah,’’ ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menandatangan memorandum persefahaman (MoU) dengan Liaquat University of Medical and Health Sciences (LUMHS), Pakistan di sini semalam.
LUMHS yang telah pun ditubuhkan sejak tahun 1850 (mulanya sebagai sekolah perubatan) diwakili oleh Naib Canselornya, Profesor Dr. Norshad Ahmed Shaikh. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan pegawai-pegawai utama Universiti.
Melalui MoU tersebut, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menubuhkan hubungan teleperubatan bagi tujuan pendidikan perubatan siswazah dan pasca siswazah dalam bentuk kuliah, perundingan, bengkel dan sebagainya.
Tambah Omar lagi, bagi memudahkan lagi pemahaman panduan menguruskan strok, satu projek Strok Bal Ex juga akan diterjemahkan dalam versi Urdu dan Sindhi. Teks: Marziana Mohamed Alias/ Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1132