USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERTANDINGAN BOLA SEPAK PERPADUAN 2014 CIPTA REKOD DENGAN 206 PENYERTAAN

090214-1

PULAU PINANG, 8 Februari 2014 – Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Dato’ Seri Nor Mohamed Yakcop hadir pagi ini untuk menyempurnakan upacara perasmian Pertandingan Bola Sepak Perpaduan Tujuh Sebelah Peringkat Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Pasukan-pasukan Terbuka 2014 di Padang Pavilion, Stadium Universiti Sains Malaysia.

Dalam pertandingan yang berlangsung dua hari itu, sebanyak 206 pasukan dari sekolah-sekolah Wilayah Zon Utara iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis akan mengambil bahagian bagi merebut 4 perisai perpaduan bagi kategori sekolah menengah bawah 18 tahun, bawah 15 tahun, sekolah rendah bawah 12 tahun dan kategori terbuka.

Dalam ucapan perasmiannya, Mohamed Yakcop merakamkan rasa syukur dan bangganya kerana Khazanah Nasional Berhad dapat bekerjasama dengan Majlis Perundingan Muhibah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP) dan Jabatan Pendidikan Pulau Pinang (JPPP) untuk menganjurkan pertandingan seumpama ini yang diharapkan dapat mengeratkan lagi perasaan muhibah dan semangat toleransi dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita, khususnya dari peringkat sekolah lagi melalui acara sukan.

090214-2

“Syabas dan tahniah kepada MPMNPP dan JPPP kerana saya difahamkan pertandingan tahun ini berjaya menarik penyertaan tertinggi iaitu sebanyak 206 penyertaan, dan ini merupakan satu rekod sejak ia pertama kali dianjurkan pada tahun 2004,” kata Mohamed Yakcop.

Sebelum itu, Pengerusi MPMNPP dan merangkap Pengerusi Pertandingan ini, Dato’ Seri Hj Mohd Yussof Latiff, dalam ucapan aluannya, berkata pertandingan ini sebenarnya diadakan sempena menyambut Hari Perpaduan Negeri Pulau Pinang 2014 yang jatuh pada 8 Februari setiap tahun dan juga sempena memperingati ulangtahun ke-111 kelahiran Bapa Kemerdekaan Malaysia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Menurut Yussof Latiff, adalah menjadi harapan pihak penganjur agar pertandingan bola sepak ini yang bermatlamat memupuk semangat muhibah dan toleransi dalam kalangan masyarakat majmuk supaya negara kita kekal aman dan damai, dapat terus diadakan pada tahun-tahun yang akan datang dan dikembangkan ke peringkat kebangsaan.

090214-3

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah-hadiah akan disempurnakan oleh pengasas pertandingan ini TYT Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada hari Ahad, 9 Februari 2014 di Stadium Universiti Sains Malaysia jam 8.00 malam.

Turut hadir ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan Pengarah Pelajaran Negeri Pulau Pinang, Dato’ Hj. Ahmad Tarmizi Kamaruddin. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1938

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024